KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul berkata lagu Bluest Sky yang dicipta untuk bersaing di pentas Eurovision Asia dicipta khas sebagai surat cinta kepada individu penting dalam hidupnya.
Tidak mendedahkan siapa individu tersebut, Aina, 33, bagaimanapun berkata lagu tersebut menceritakan harapan daripada lubuk hatinya yang terdalam.
“Lagu ini adalah bahasa cinta saya; surat cinta saya kepada seseorang yang penting dalam hidup saya. Tidak semestinya orang itu masih ada atau tidak, itu adalah imaginasi saya sebagai penulis lagu.
“Saya memang seorang yang mudah jatuh cinta (fall for love). Sebab itu ayat terakhir dalam lagu ini berbunyi: ‘If losing you means finding myself, then I don’t want this to be over’. Saya sentiasa berharap,” katanya.
Aina ditemui semasa sesi mendengar lagu Bluest Sky di REXKL, di sini pada Khamis.
Bercerita mengenai proses pembikinan lagu tersebut, pemegang trofi Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-40 ini
berdepan cabaran luar biasa sehingga terpaksa ‘berkampung’ di studio rakaman selama 10 jam.
“Proses penulisan sebenarnya lebih mudah berbanding rakaman. Ketika menulis, saya ada satu perasaan yang terbuku di hati. Tetapi semasa merakam, emosinya berbeza kerana saya perlu menjiwai watak itu.
“Rakaman dari pagi sampai malam tidak selesai, itu adalah tempoh terlama bagi saya. Walaupun kedengaran indah, di sebaliknya banyak liku dan cabaran,” jelasnya.
Selain teknikal rakaman, Aina turut berdepan kesukaran untuk mematuhi syarat ketat pertandingan Eurovision yang menetapkan durasi lagu tidak boleh melebihi tempoh tiga minit.
Ujar Aina, sebagai penyanyi yang gemar melakukan persembahan berdurasi panjang sehingga lima minit, dia perlu bijak mengimbangi emosi dalam tempoh masa yang sangat singkat.
“Lagu ini ‘besar’ dan tiada ruang rehat. Cabaran paling sukar adalah untuk mencurahkan segala emosi marah, cinta dan sedih dalam tempoh tepat tiga minit itu.
“Namun alhamdulillah, kami berjaya melakukannya,” tambahnya.
Mengakui Eurovision adalah peluang sekali seumur hidup, Aina turut sukar tidur malam menyiapkan lagu namun teruja bakal bersaing dengan 10 peserta yang lain di Bangkok bulan hadapan.
“Selepas AJL yang lalu, otak saya memang fikir Eurovision sahaja.
“Tanggungjawab saya besar kali ini dan saya rasa gementar seperti pertama kali masuk AJL dahulu. Ada rasa teruja dan debaran yang sama,” katanya. – UTUSAN











