Kerajaan terbuka teliti cadangan Akta Antibuli babit penuntut IPT - Utusan Malaysia

Kerajaan terbuka teliti cadangan Akta Antibuli babit penuntut IPT

Azalina Othman Said
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka meneliti cadangan peluasan Akta Antibuli 2026 (Akta 876) kepada golongan berusia lebih 18 tahun termasuk penuntut universiti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Beliau berkata, pendirian kementerian yang terlibat perlu diperoleh bagi membolehkan Kabinet mempertimbangkan sama ada skop berkenaan wajar diperluaskan kepada golongan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, terdapat pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan dalam membincangkan kelompok umur berbeza termasuk tahap kesedaran mengenai hak masing-masing.

“Berdasarkan pecahan umur 13 hingga 17 tahun, semakin meningkat usia seseorang, semakin bertambah kesedaran mereka mengenai hak sendiri.

“Golongan berusia lebih 18 tahun lazimnya dianggap sudah mampu menjaga diri sendiri, namun keadaan golongan muda tetap perlu diambil kira.

“Tahap kesedaran mengenai hak juga menjadi antara pertimbangan apabila membincangkan kelompok umur yang berbeza,” katanya selepas Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Tribunal Antibuli bertujuan menjadi mekanisme intervensi serta pilihan penyelesaian pertikaian alternatif bagi menangani perlakuan buli.

Katanya, sekolah sudah mempunyai sistem tertentu untuk menangani isu berkenaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) tetap mempunyai peranan dalam usaha penyelesaian pertikaian.

“Tribunal menjadi satu pilihan sekiranya pihak terlibat tidak menggunakan mekanisme pengantaraan melalui KPM, dengan pilihan penyelesaian bergantung kepada mangsa dan pelaku.

“Penerimaan atau penolakan sesuatu kes pula bergantung kepada penilaian tribunal terhadap kes yang dikemukakan,” katanya.

Menurut Azalina, tribunal mengambil kira keadaan kedua-dua pihak iaitu mangsa dan pelaku dalam membuat keputusan termasuk keperluan bantuan bagi menangani cabaran emosi.

Katanya, usaha itu turut memberi perhatian kepada keperluan mangsa dan pelaku, selain soal ganti rugi atau hukuman.

“Pihak sekolah juga akan mengetahui apabila sesuatu kes dibawa ke tribunal, sekali gus membolehkan perbincangan berterusan diadakan bagi mencari penyelesaian.

“Seperti tribunal bagi Antigangguan Seksual, tujuan utama kewujudan Tribunal Antibuli adalah sebagai langkah pencegahan.

“Kesedaran bahawa perlakuan buli boleh dibawa ke tribunal diharap dapat mengurangkan perbuatan itu dan kerajaan turut mengambil kira peranan serta tanggungjawab sekolah dan KPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini