PETALING JAYA: Kerajaan sedia mengkaji keperluan meminda Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) bagi memperkukuh kuasa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) khususnya dalam tadbir urus Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu termasuk bagi melihat keperluan memperjelas punca kuasa dalam Akta Hak Cipta berhubung pengoperasian CMO.
Katanya, pindaan yang dibuat pada 2021 dan 2022 menerusi Akta Hak Cipta sudah memberikan kuasa yang agak besar, khususnya melalui Seksyen 27M yang memberi punca kuasa kepada Pengawal Hak Cipta untuk mengeluarkan garis panduan bagi memperkukuh tadbir urus CMO.
“Namun kita tidak menafikan bahawa kita sedia untuk mengkaji sama ada perlu atau tidak kita perkukuhkan lagi punca kuasa yang jelas dalam Akta Hak Cipta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung cadangan kerajaan meminda Akta 332 bagi memperkasakan MyIPO dan memberikan bidang kuasa lebih luas termasuk dalam aspek kepenggunaan.
Menurutnya, garis panduan yang dikeluarkan MyIPO pada 2025 turut menetapkan bahawa sebarang semakan atau pindaan kepada kadar tarif perlu dimaklumkan dan mendapat kelulusan Pengawal Hak Cipta.
Katanya, rujukan berkenaan perlu dibuat kepada Pengawal Hak Cipta yang berpandukan jawatankuasa membabitkan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, industri dan CMO.
“KPDN melalui MyIPO mengawal selia CMO sejak 2012 menerusi kerangka perisytiharan di bawah Seksyen 27A, Akta 332 dan Peraturan-Peraturan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2012,” katanya.
Menurutnya, usaha memperkukuh akauntabiliti CMO dalam pengurusan dan pengagihan royalti turut dizahirkan melalui pengenalan Seksyen 59C Akta 332 pada 2019 yang menyediakan saluran penyelesaian pertikaian melalui tribunal hak cipta.
“Bagaimanapun, garis panduan di bawah Seksyen 27M yang sepatutnya dikuatkuasakan sepenuhnya pada 17 Januari 2026 belum dapat dilaksanakan susulan bantahan dan tindakan semakan kehakiman oleh Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) pada 16 April 2025.
“KPDN melihat penguatkuasaan garis panduan berkenaan penting bagi memperkukuh ketelusan tadbir urus CMO termasuk dalam aspek pengiraan asas kadar tarif yang munasabah, kutipan pelesenan dan pengagihan royalti,” katanya.- UTUSAN











