KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dilihat gagal menempatkan pelarian di negara ketiga.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, suruhanjaya tersebut sepatutnya memainkan peranan membantu memindahkan pelarian ke negara ketiga seperti yang dilakukan ketika krisis pelarian Vietnam pada 1970-an.
Katanya lagi, rekod penempatan pelarian oleh badan itu ketika ini masih rendah, dengan hanya lebih 5,000 orang ditempatkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, dan kebanyakannya bukan etnik Rohingya.
“UNHCR ini gagal. Itu sebabnya kita mengkaji semula kehadiran UNHCR di Malaysia. Dia patutnya berperanan sebagai badan untuk menghantar pelarian-pelarian ke negara ketiga, macam dia buat semasa pelarian Vietnam pada tahun 70-an dulu.
“Tapi sekarang tidak ada. Success rate dia cuma 5,000 lebih selama dua hingga tiga tahun ini, dan itu pun yang dihantar bukan orang Rohingya, sebaliknya etnik lain dari Myanmar,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya lagi, usaha menempatkan pelarian ke negara ketiga turut berdepan cabaran apabila beberapa negara yang sebelum ini menerima pelarian, termasuk Australia, Amerika Syarikat dan Jerman, semakin mengetatkan dasar imigresen mereka.
Kesan daripada itu katanya, ia menambah beban Malaysia yang kini menempatkan lebih 200,000 pendatang dari Myanmar, termasuk lebih 100,000 etnik Rohingya, dengan sebahagian besar daripada mereka memegang kad UNHCR.
“Banyak negara yang selalunya menerima pelarian ini sekarang sudah menutup pintu. Mereka membuat dasar antiimigran. Jadi, ke mana nak dihantar orang ini? Akhirnya, kita juga yang akan terbeban,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar selagi keselamatan mereka tidak terjamin, kerana tindakan itu berisiko menyebabkan mereka kembali berdepan keganasan.
“Nak menghantar orang Rohingya balik bermakna menghantar mereka untuk disembelih. Saya tidak akan setuju.
“Jadi itu sebabnya Malaysia mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi dan meminta kerajaan Myanmar menyelsaikan masalah mereka. Ini yang patut dilakukan, menyalahkan sana sini, tidak ada kesudahannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia akan terus mengadakan rundingan di peringkat tertinggi dengan kerajaan Myanmar bagi mendesak penyelesaian terhadap konflik dalaman negara berkenaan.
Katanya, selagi masalah dalaman Myanmar tidak diselesaikan, pelarian berkemungkinan terus meninggalkan negara itu dan mencari perlindungan di negara lain, termasuk Malaysia.
“Selagi isu dalaman mereka tidak selesai, selagi itulah pelarian tidak akan balik dan selagi itulah pelarian akan keluar.
“Kita sudah beritahu mereka supaya menyelesaikan masalah sendiri kerana perkara ini bukan lagi masalah mereka semata-mata, tetapi sudah menjadi masalah kita apabila kesannya turut ditanggung Malaysia,” katanya. – UTUSAN











