Kerajaan belum ada pengesahan rakyat Malaysia terlibat insiden kereta api Sepanyol

Kerajaan belum ada pengesahan rakyat Malaysia terlibat insiden kereta api Sepanyol

Nahas itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta api laju merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren hingga menyebabkan dua gerabak tergelincir dari landasan. Foto Agensi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang memantau rapat insiden perlanggaran membabitkan dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol, hari ini yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Menurut KLN dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden berkenaan setakat ini.

“Pada peringkat awal ini, kedutaan masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali perkhidmatan kereta api yang berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang terlibat serta menyelaras bantuan konsular sekiranya diperlukan,” katanya malam ini.

KLN berkata, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia dilaporkan telah digantung susulan insiden tersebut.

“Rakyat Malaysia yang sedang melakukan perjalanan di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang untuk menggunakan perkhidmatan kereta api terjejas dinasihatkan supaya menyemak perkembangan terkini,” katanyaz

Jelas KLN, rakyat Malaysia yang mungkin terjejas akibat insiden tersebut atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terlibat digesa untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid.

“Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Sepanyol turut digalakkan untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my,” jelasnya.

Hari ini, sekurangnya-kurangnya 10 orang maut, manakala sejumlah penumpang dikhuatiri cedera selepas dua kereta api laju bertembung di wilayah Toledo, tengah Sepanyol.

Jurucakap kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, Esther Padilla berkata, jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan operasi menyelamat sedang giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa penumpang yang tersepit.

Nahas itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta api laju merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren hingga menyebabkan dua gerabak tergelincir dari landasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini