Kenaikan gaji perlu seiring peningkatan kos sara hidup

Kenaikan gaji perlu seiring peningkatan kos sara hidup

KENAIKAN gaji perlu seiring peningkatan kos sara hidup.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga barangan dan perkhidmatan meningkat kira-kira 12.1 peratus antara 2020 hingga 2025 meningkatkan tekanan kos sara hidup ketika para pekerja masih bergelut pendapatan tidak setimpal. 

Keadaan itu menyebabkan cadangan kenaikan gaji minimum bukan semata-mata soal peningkatan kos kepada maji­kan, sebaliknya berkaitan de­ngan keupayaan pekerja mengekalkan kuasa beli apabila harga makanan dan penjagaan kesihatan terus meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, kenaikan gaji minimum tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai punca kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Memuatkan artikel berkaitan…
SARAVANAN THAMBIRAJAH

Katanya, jika kos sara hidup terus meningkat tetapi gaji tidak bergerak pada kadar sama, kuasa beli pekerja akan semakin terhakis dan mereka mungkin terus berdepan kesukaran memenuhi keperluan asas keluarga.

“Sebarang kenaikan gaji perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan data dengan mengambil kira inflasi, produktiviti, kemampuan majikan serta keadaan ekonomi.

“Pada masa sama, kenaikan kos gaji tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah dan memindahkan keseluruhan kos kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berpotensi meningkatkan kos yang akhirnya ditanggung pengguna menerusi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Saravanan berkata, perbincangan gaji minimum perlu mencari keseimbangan antara tiga perkara iaitu memastikan pekerja menerima pendapatan yang lebih munasabah, memastikan perniagaan kecil mampu menyesuaikan diri dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah. 

“Apabila pekerja berpendapatan rendah mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih baik, kuasa beli mereka boleh meningkat dan wang tersebut sebahagian besarnya akan kembali kepada ekonomi melalui perbelanjaan.

“Paling penting, kita tidak boleh menerima keadaan di mana harga dan kos sara hidup terus meningkat setiap tahun tetapi pendapatan pekerja kekal tidak berubah,” katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman berkata, fenomena kenaikan harga barang dan perkhidmatan berterusan saban tahun akibat rantaian bekalan dan kos bahan mentah bukannya gaji semata-mata.

Katanya, peningkatan kuasa beli pekerja juga mampu merangsang perbelanjaan domestik, manakala majikan perlu mengimbangi kos melalui peningkatan produktiviti, bukannya memindahkan keseluruhan beban kepada pengguna.

“Mengekalkan gaji di tahap lama tanpa penyesuaian hanya akan terus mengecilkan kuasa beli rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×