KOTA BHARU: Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd. Azhan Mohd. Adnan atau Abbe Hea mendakwa, dia dan rakan-rakanya hanya melakukan tinjauan bagi melihat kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya, di sekitar bandar ini pada pada Jumaat lalu sebelum ia tular dalam media sosial.
Katanya, sebelum tinjauan bermula, dia sudah mengingatkan rakan-rakan yang menyertainya supaya tidak melakukan sebarang provokasi atau menyentuh mana-mana individu sepanjang mereka berada di lokasi berkenaan.
Katanya, tinjauan itu bermula di Dataran Masjid Muhammadi sebelum kumpulannya bergerak ke Jalan Dato Pati da Pasar Pokok Pinang.
“Ketika berada di Jalan Dato Pati, saya melihat seorang pekerja yang sedang menebar roti canai di sebuah kedai melarikan diri tanpa memadamkan dapur memasak selepas menyedari kehadiran kumpulan kami.
“Saya kemudian bertanyakan perkara itu kepada pemilik kedai sebelum wanita berkenaan memaklumkan bahawa pekerjanya adalah warga Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azhan berkata, dia kemudian memberi teguran secara baik kepada pemilik kedai dan menasihatinya supaya mengambil pekerja tempatan.
Katanya, dia turut memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan bersabit perkara tersebut.
“Tinjauan kemudian diteruskan ke Pasar Pokok Pinang dan mendapati ramai warga asing melarikan diri manakala beberapa individu lain masih berada di kawasan itu untuk membeli-belah.
“Semasa tinjauan itu saya melihat longgokan barangan perniagaan yang didakwa ditinggalkan oleh warga asing yang berniaga di situ,” ujarnya.
Menurutnya, dia turut bertegur sapa dengan beberapa individu yang dipercayainya warga Bangladesh di sebuah kedai terbuka yang menyerupai kedai makan.
Katanya, dia turut menasihati mereka supaya bekerja dengan baik bagi menyara anak dan isteri di negara asal serta tidak berniaga di Malaysia, sebaliknya bekerja dalam sektor yang dibenarkan.
Sebelum itu, aktivis tersebut menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi entri laman sosial Facebook memberitahu dia ditahan polis bersama 15 individu lain, semalam.
Menurutnya, turut ditahan bersama beliau adalah Datuk Mizan dari ISejahtera Malaysia dan Tengku Harith iaitu Pengurusan Jenazah Pasir Puteh. Bagaimanapun mereka sudah dibebaskan pada pukul 12 tengah hari ini. – UTUSAN










