NIBONG TEBAL : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merancang menggantikan kenderaan mereka khususnya motosikal trafik yang berusia lebih 30 tahun dalam usaha untuk melancarkan tugas penguatkuasaan mereka.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penggantian itu juga penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin.
Beliau berkata, ketika ini, kebanyakan motosikal yang dimiliki oleh jabatan itu sudah uzur dan pihaknya menghadapi masalah penyelenggaraan termasuk kesukaran untuk mendapatkan alat ganti jika kenderaan tersebut rosak.
“Sebagai agensi (jabatan) yang menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan jalan raya, agak malu juga apabila motosikal kita rosak. Aset kita (motosikal) juga agak lapuk.
“Kita nak jaga keselamatan pengguna jalan raya, tetapi, pada masa yang sama, motosikal kita sendiri kadang-kadang rosak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Motosikal bagi Program Proof of Concept (PoC) di ibu pejabat Mforce di Valdor di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak enam buah motosikal baharu milik syarikat Mforce telah diserahkan kepada JSPT untuk menjalani PoC bagi menilai kesesuaian penggunaannya oleh polis trafik.
Difahamkan, tempoh penilaian itu akan berlangsung selama tiga bulan bagi membolehkan JSPT menguji ketahanan, keselesaan serta penggunaan bahan api motosikal berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat termasuk berkaitan pembelian dan sebagainya.
Sementara itu, Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya kini sedang merangka cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah aset jabatan itu yang berlebihan.
Katanya, ini termasuk kemungkinan untuk melupuskan kenderaan seperti motosikal-motosikal trafik yang lama dan berusaha untuk mendapatkan penggantian yang bersesuaian.
“Perancangan itu turut melibatkan perbincangan dengan pihak Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) PDRM bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk memastikan keperluan operasi JSPT dapat dipenuhi,” ujar beliau.-UTUSAN










