JPN sahkan lelaki Bangladesh dapat kewarganegaraan pada 2025

JPN sahkan lelaki Bangladesh dapat kewarganegaraan pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan seorang lelaki asal Bangladesh memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 2025 mengikut peruntukan undang-undang, susulan dakwaan di media sosial yang mempersoalkan kesahihan MyKad dan status kewarganegaraan dua individu.

Menurut JPN, lelaki itu memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 (1) Perlembagaan Persekutuan secara teratur serta mengikut prosedur ditetapkan.

“Lelaki itu juga merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap (PR) sejak 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isu itu menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads mempersoalkan tangkap layar mengenai seorang wanita yang dipercayai warga asing tetapi memiliki MyKad.

Dia mendakwa terjumpa seorang pesakit yang kelihatan seperti warga asing, memakai purdah dan tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris tetapi memiliki pasport Malaysia.

Pengguna itu turut mempersoalkan maklumat pada MyKad yang didakwa lahir pada 2002 tetapi gambar pada kad pengenalannya kelihatan seperti individu berusia 40-an ke atas.

Keadaan itu menimbulkan persoalan kerana individu yang lahir pada 2002 sepatutnya berusia dalam lingkungan 20-an ketika ini.

Selain itu, maklumat pada kad pengenalan berkenaan menunjukkan wanita itu menetap di Selangor sedangkan alamat mengundinya di Terengganu dan tempat lahirnya pula di Pahang.

Sementara itu, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes kedua membabitkan seorang wanita yang didakwa warga Pakistan, susulan aduan diterima.

JPN berkata, penelitian sedang dilakukan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

JPN memahami keraguan dan kebimbangan orang ramai berhubung isu berkenaan dan menggalakkan mereka yang mempunyai maklumat atau persoalan berkaitan status kewarganegaraan supaya mengemukakan aduan melalui saluran rasmi.

Langkah itu bagi membolehkan semakan sewajarnya dibuat tanpa mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial.

JPN turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta mematuhi undang-undang berkuat kuasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini