JPJ gantung perkhidmatan MyEG sebagai ejen pemungut

JPJ gantung perkhidmatan MyEG sebagai ejen pemungut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut berkuat kuasa Isnin depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

“Selaras dengan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JPJ berkata, bagaimanapun, tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum tarikh kuat kuasa pada 5 Oktober masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.

“Bagi tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Oktober, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh Malaysia.

“Bagi pembayaran saman melibatkan bukan warga Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia–Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ.

“Ia ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam,” katanya.

JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN