Jeti Terminal Pelayaran Antarabangsa di Melaka Gateway siap hujung 2027 - Utusan Malaysia

Jeti Terminal Pelayaran Antarabangsa di Melaka Gateway siap hujung 2027

AB. Rauf Yusoh diberi taklimat mengenai perkembangan projek pembinaan jeti MICT ketika melakukan lawatan di Melaka Gateway, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jeti Terminal Pelayaran Antarabangsa (MICT) di Melaka Gateway yang bernilai RM2 bilion dijangka siap dibina pada penghujung tahun depan sebelum mula beroperasi pada suku pertama 2028.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kemajuan pembinaan projek yang diuruskan KAJ Sdn. Bhd. itu menunjukkan perkembangan positif walaupun berdepan beberapa cabaran teknikal sepanjang pelaksanaannya.

Menurutnya, terminal berkenaan mampu menampung sehingga enam kapal persiaran berlabuh pada satu-satu masa, sekali gus memperkukuh potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan maritim antarabangsa.

“Alhamdulillah, progres pembinaan jeti ini berjalan lebih baik hari ini dan insya-Allah pada hujung 2027 kita akan lihat struktur terminal kapal persiaran ini boleh digunakan pada suku pertama tahun 2028.

“Bila siap nanti jeti ini dijangka mampu menerima sehingga 1.6 juta penumpang setahun menerusi kira-kira 800 ketibaan kapal persiaran, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada perkembangan pelancongan maritim negeri ini.

“Dengan adanya terminal ini, kita membuka satu lagi pintu masuk antarabangsa ke Melaka melalui jalan laut, sekali gus memberi ruang kepada lebih banyak ketibaan kapal persiaran dan pelancong antarabangsa ke negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek MICT di Melaka Gateway, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, projek berkenaan turut merangkumi kemudahan pelepasan dan ketibaan penumpang serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bertaraf antarabangsa bagi memastikan urusan kemasukan pelancong berjalan lancar.

Katanya, kemudahan CIQ sementara juga akan dibangunkan sebelum kompleks CIQ kekal disiapkan bagi menampung pertambahan pelancong yang berkunjung ke Melaka menerusi kapal persiaran.

Menurut beliau, pembangunan projek yang bermula pada 2022 itu merangkumi beberapa komponen utama termasuk jeti berbentuk L (L-shaped jetty), jeti berbentuk T (T-shaped jetty) serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Katanya, setakat 3 Oktober lalu, sebanyak 170 cerucuk telah siap dipasang, bersamaan 56 peratus daripada keseluruhan kerja pemasangan cerucuk, manakala baki 134 cerucuk disasarkan siap menjelang pertengahan November ini.

“Bagi komponen L-shaped jetty, pihak pemaju menyasarkan pembinaannya siap pada akhir 2027 sebelum mula beroperasi pada awal 2028. Sementara itu, T-shaped jetty dan Kompleks CIQ pula dijangka siap pada 2029,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini kapal persiaran Genting Dream berkunjung ke Melaka setiap Isnin dengan kehadiran kira-kira 4,800 pelancong, manakala sekitar 3,000 pelancong direkodkan pada setiap Khamis.

“Sudah hampir dua tahun kita menerima ketibaan kapal persiaran ini dan sambutannya begitu baik. Kita melihat potensi ekonomi biru di kawasan ini menerusi kerjasama dengan KAJ dalam bentuk inisiatif pembiayaan swasta (memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada Melaka,” katanya.

Mengulas kelewatan pembinaan, Ab Rauf berkata, ia berpunca daripada beberapa masalah teknikal dan cabaran berkaitan kerja-kerja di laut.

Bagaimanapun, beliau yakin projek berkenaan dapat disiapkan mengikut sasaran baharu, sekali gus menyediakan kemudahan pelabuhan yang lebih cekap dan selesa kepada pelancong antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN