JOHOR BAHRU: Polis Johor mengaktifkan 13 Pusat Kawalan Daerah (DCC) di seluruh Johor berkuat kuasa semalam bagi menyelaras dan memantau situasi jerebu di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, langkah itu selari dengan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor bagi memastikan isu serta ancaman jerebu yang melanda dapat ditangani secara berkesan.
Menurutnya, pengaktifan DCC di peringkat daerah membolehkan pemantauan berterusan dijalankan dari semasa ke semasa mengikut kawasan masing-masing.
“Semala, kita mengaktifkan semua pusat kawalan daerah untuk memantau situasi jerebu di semua daerah di negeri ini.
“Ini membolehkan kita bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani sebarang masalah yang timbul akibat jerebu di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor bagi bulan Oktober di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, penugasan polis bagi aspek keselamatan dan ketenteraman awam seperti kawalan trafik, Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tetap berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, aspek kebajikan dan tahap kesihatan petugas di lapangan sentiasa menjadi keutamaan kontinjen Johor melalui penguatkuasaan pemakaian pelitup muka.
“Dari segi penugasan di lapangan, ia berjalan seperti biasa kerana melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam. Kita tidak boleh mengurangkan keanggotaan trafik, kereta peronda mahupun rondaan bermotosikal.
“Namun, saya sudah mewajibkan semua petugas di setiap daerah memakai pelitup muka bagi memastikan mereka sentiasa menjaga kesihatan.
“Mana-mana petugas di lapangan yang mempunyai masalah kesihatan akan dikecualikan daripada tugas luaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumi cabaran yang dihadapi anggota di lapangan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin merosot.
“Kita bimbang jika keadaan menjadi lebih serius, penugasan perlu diteruskan sedangkan kesihatan anggota terancam. Kita harap dengan memakai pelitup muka dan penggiliran tugas, isu ini dapat diatasi.
“Setakat ini, tiada sebarang rekod menunjukkan anggota polis mengalami masalah kesihatan serius akibat jerebu, semua Ketua Polis Daerah diarahkan untuk sentiasa memantau tahap kesihatan pegawai dan anggota masing-masing,” katanya. –UTUSAN











