KUALA NERUS: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas membenam cabaran Terengganu FC (TFC) 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam ini.
Ia adalah kemenangan keenam skuad Harimau Selatan dalam enam perlawanan sekali gus mengumpul 18 mata maksimum untuk berada di puncak.
Keputusan itu juga menyaksikan JDT merekodkan 28 jaringan dan tanpa bolos dalam saingan Liga Super setakat ini.
TFC pula bergelut di kelompok empat terbawah dengan hanya mampu mengumpul lima mata daripada lima perlawanan.
Beraksi di laman lawan, anak buah Xisco Munoz bagaimanapun hampir dikejutkan dengan serangan balas pantas TFC pada minit ke-10 namun rembatan kaki kiri Haziq Kutty Abba tersasar di sebelah gawang JDT.
Benteng TFC hanya mampu bertahan selama 25 minit sebelum pemain kelahiran Brazil, Bergson da Silva membuka jaringan buat pasukan pelawat dan Oscar Arribas menggandakan kelebihan jaringan JDT pada minit ke-42.
Meskipun mendahului dengan dua jaringan, barisan pemain Harimau Selatan tidak mengendurkan corak serangan apabila babak kedua bersambung dan nyaris memperoleh jaringan ketiga pada minit ke-50 menerusi tandukan Bergson, namun tersasar di sebelah kanan gawang TFC.
TFC mendapat peluang keemasan untuk merapatkan kedudukan jaringan pada minit ke-54 namun penyerang importnya, Mateus Gustavo gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diselamatkan penjaga gol JDT Syihan Hazmi Mohamed.
Selepas itu, serangan bertali arus JDT gagal menembusi gawang TFC sebelum Shahab Zahedi menghukum kealpaan benteng tuan rumah di hujung permainan selepas mendapat umpanan Arif Aiman Asrol untuk jaringan ketiga pelawat dan kelapan peribadi penyerang import dari Iran itu. – UTUSAN











