KANGAR: Selain penguatkuasaan yang lemah, masalah lambakan warga asing dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan berpunca daripada kelompok itu dibiarkan membina jaringan kuat di Malaysia.
Mereka memilih Malaysia berbanding Thailand atau Indonesia kerana melihat peluang untuk berkembang jauh lebih mudah.
Felo Kanan Institut Keamanan Global (GPI), London, United Kingdom (UK), Prof. Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, rakyat Malaysia amat baik sehingga warga asing berani mengambil kesempatan membina rangkaian yang kuat.
Beliau berkata, ia berbeza dengan Thailand atau Indonesia yang langsung tidak memberi ruang atau peluang kepada kelompok berkenaan untuk berkembang.
Katanya, kelemahan itu membuka ruang kepada kelompok warga asing membina rangkaian di Malaysia yang kebanyakannya berjaya dalam perniagaan dan menguasai kawasan-kawasan tertentu.
“Mereka (PATI) sudah mempunyai rangkaian, kawan atau saudara yang sudah berjaya di Malaysia, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada warga asing tersebut. Ia mendorong PATI datang ke Malaysia dengan cara apa sekalipun.
“Sebagai contoh, apabila komuniti Rohingya di Malaysia semakin banyak, menjadikan kelompok atau rangkaian berkenaan mempunyai sumber kewangan dan kedudukan yang semakin kuat. Mereka juga sudah menguasai kawasan-kawasan tertentu seperti Selayang, Puchong atau mana-mana lokasi lain.
“Mereka juga semakin kuat di sini disebabkan kelemahan sistem kita sendiri jika dibandingkan dengan Thailand atau Indonesia yang langsung tidak memberi muka kepada warga asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu, seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terkorban manakala tiga lagi cedera semasa operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang di sini.
Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan meninggal dunia selepas bot dinaiki mereka ketika mengejar PATI terlanggar bongkah konkrit di perairan itu, yang turut menyebabkan tiga anggota tercampak keluar.
Rentetan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pasukan penguatkuasaan untuk bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara.
Kata Perdana Menteri, pengorbanan Mohd. Roshaimi tidak boleh dibiarkan menjadi sia-sia, sebaliknya sebarang cubaan menceroboh sempadan negara perlu ditangani dengan tegas tanpa kompromi.
Mohd. Mizan berkata, kematian anggota keselamatan menjadi peringatan kepada Malaysia untuk bertindak lebih tegas dalam isu pencerobohan PATI.
“Dalam kejadian tersebut, pasukan keselamatan kita berdepan tindakan agresif PATI sehingga menyebabkan salah seorang terkorban. Bayangkan jika pada masa-masa hadapan PATI ini mempunyai senjata api dan semakin ganas.
“Laluan mereka dari Thailand sememangnya memudahkan mereka memiliki senjata api. “Perlu diingat, PATI ini datang dengan persediaan daripada segi jiwa serta kekuatan untuk berada di Malaysia dan mengubah kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah Mohd. Roshaimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Padang Terap, Kedah dengan istiadat pengebumian dan kawalan oleh anggota Maritim Malaysia kira-kira pukul 9.45 malam, kelmarin.
Kira-kira 500 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuk kedua-dua anaknya iaitu Rayyan Shakimi, 14, dan Muhammad Rizqy Shazarin, 11. – UTUSAN











