Jangan samakan pesawah Selangor dengan negeri lain

Jangan samakan pesawah Selangor dengan negeri lain

MUJAHID CHE HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kedudukan pesawah di Selangor tidak wajar dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Kedah, Pahang, Melaka, Kelantan atau Terengganu kerana hampir 95 peratus daripada mereka adalah pesawah benih yang ber­operasi di bawah ladang kontrak syarikat pengeluar benih.

Pengurus Operasi Syarikat Kilang Beras Melayu Jati, Mujahid Che Hamid berkata, struktur itu memberi kelebihan besar kepada pesawah di Sela­ngor kerana sentiasa menerima sokongan dan keistimewaan daripada syarikat pengeluar.

“Mereka berada dalam ekosistem yang dijamin, berbeza dengan pesawah di negeri lain yang bergantung kepada pasaran terbuka dan berdepan risiko pemutuan serta kos input yang tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isnin lalu, akhbar ini mela­porkan, industri padi dan beras tempatan kini berdepan tekanan kritikal apabila ran­taian bekalan daripada peringkat hulu hingga ke hilir terhimpit akibat jurang harga yang tidak seimbang, sekali gus mengan­cam kelangsungan hidup pe­tani serta daya tahan pengusaha kilang.

Mujahid berkata perbandi­ngan yang sering dibuat antara Selangor dan negeri lain boleh menimbulkan salah faham.

“Jika mahu menilai keadaan sebenar pesawah, lihatlah kepada negeri yang bergantung kepada hasil padi tanpa soko­ngan ladang kontrak. Di situlah kelangsungan hidup petani benar-benar diuji,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa naratif yang me­nyamakan semua negeri boleh menutup suara pesawah kecil.

“Kita mesti berlaku adil. Ja­ngan biarkan keistimewaan se­gelintir kawasan dijadikan uku­ran nasional, sedangkan ma­joriti pesawah masih bergelut dengan kos dan harga lantai yang tidak seimbang,” tegasnya.

Beliau menyeru agar dasar pertanian beras negara disusun semula berdasarkan realiti di pangkal rantaian.

“Jaga pesawah di negeri-negeri yang tiada ladang kontrak, pastikan kilang berdaya maju, dan lindungi pengguna. Itu asas yang mesti dipertahankan,” katanya.

Mujahid dilaporkan berkata, harga beras di pasaran borong RM2,300 satu tan metrik tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang mencecah RM2,500 bagi kuantiti sama.

Katanya, kerugian RM200 bagi setiap tan metrik itu belum mengambil kira kos kendalian kilang, sekali gus meletakkan pengusaha tempatan dalam keadaan semakin terhimpit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini