Isu warga asing terlibat ekonomi haram di Semporna dibawa ke Kabinet

Isu warga asing terlibat ekonomi haram di Semporna dibawa ke Kabinet

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Isu warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan kegiatan ekonomi secara haram di Semporna telah dibawa dan dibincangkan Kabinet Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, Kerajaan Persekutuan memandang serius situasi berkenaan dan tindakan penguatkuasaan sedang digerakkan secara aktif melalui operasi bersepadu, khususnya di pulau-pulau tumpuan pelancong di daerah berkenaan.

“Perkara ini sedang diambil tindakan, ada operasi-operasi yang diadakan terutama dari segi perniagaan di pulau-pulau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut membincangkan perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan kawalan sempadan di Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan khas bersiri Bernama pada Ogos lepas yang mengetengahkan isu pelabur asing menguasai rantaian ekonomi pelancongan di daerah berkenaan secara haram sehingga menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan dan ekonomi rakyat tempatan.

Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam laporan berkenaan turut mendedahkan modus operandi warga asing itu termasuk menguasai perkhidmatan, pusat peranginan dan fasiliti pelancongan menerusi perkongsian tidak sah atau ali baba, yang membuka ruang kepada pelbagai jenayah antaranya pusat penipuan.

Ketika memberi reaksi terhadap laporan yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mengarahkan ESSCOM melakukan operasi penguatkuasaan secara bersama dengan semua pihak yang terlibat di kawasan berkenaan seperti pihak berkuasa tempatan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini