Isu potongan padi 25 peratus terus himpit pesawah

Isu potongan padi 25 peratus terus himpit pesawah

ISU berkaitan padi dan pesawah mencerminkan struktur industri yang tidak seimbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan pesawah terus terhimpit apabila potongan ketika proses pemutuan padi mencecah sehingga 25 peratus, menyebabkan nilai hasil yang diterima jauh lebih rendah daripada harga asal.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, bagi setiap satu tan padi bernilai RM1,500, pesawah hanya menerima bayaran berdasarkan 750 kilogram selepas potongan 250 kilogram dibuat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan nilai kasar yang diterima pesawah berkurangan kepada sekitar RM1,125 bagi setiap tan, tidak termasuk subsidi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi setiap satu tan padi dengan harga RM1,500, potongan 25 peratus bermakna hanya 750 kilogram akan dinilai untuk bayaran.

“Jadi, kuantiti yang dibayar hanya 750 kilogram dan nilai kasar yang diterima pesawah sekitar RM1,125 sahaja, tidak termasuk subsidi,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan industri padi dan beras tempatan berdepan tekanan apabila jurang harga yang tidak seimbang menjejaskan kelangsungan hidup petani serta daya tahan pengusaha kilang.

Pengurus Operasi Syarikat Kilang Beras Melayu Jati, Mujahid Che Hamid dilaporkan berkata, harga beras di pasaran borong sebanyak RM2,300 satu tan metrik tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang mencecah RM2,500 bagi kuantiti sama.

Abdul Rashid berkata, pesawah turut dibebani kos pengeluaran seperti baja, racun, benih, buruh, penggunaan jentera, kerja menuai dan pengangkutan yang boleh mencecah RM6,000 sehektar.

Katanya, kos tinggi itu menambah tekanan kepada pesawah yang berdepan pulangan tidak setimpal dengan perbelanjaan.

“Isu ini bukan sekadar melibatkan harga padi atau kilang, sebaliknya mencerminkan struktur industri padi dan beras yang tidak seimbang.

“Apabila kos pengeluaran beras meningkat, pengilang turut tertekan dan kesannya dirasai pesawah apabila potongan padi menjadi lebih tinggi. Justeru, keseluruhan rantaian industri ini perlu dinilai semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini