KUALA LUMPUR: Ibu bapa diseru mengambil tanggungjawab supaya lebih peka terhadap perkembangan, tingkah laku dan aktiviti anak-anak masing-masing supaya tidak terjerumus dalam gejala tidak bermoral.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugas mendidik tidak boleh diserahkan semata-mata kepada sekolah atau guru-guru sahaja sebaliknya ibu bapa memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak.
Beliau juga menegah tindakan terlalu menyerahkan urusan mendidik kepada orang lain sehingga tidak tahu aktiviti harian anak-anak masing-masing yang berisiko membuka ruang kepada gejala tidak sihat.
“Ibu bapa ambil tanggungjawab. Tengok anak-anak ini semua bersih, tunjuk kasih sayang yang baik, sangat menyentuh perasaan saya.
“Bagaimanapun, saya bimbang mengenai kedudukan dan masa depan mereka jika ibu bapa itu hanya menyerah begitu saja bulat-bulat kepada keadaan dan suasana, tanpa mengawal dan mendidik mereka,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka berdisiplin dalam menjalani rutin persekolahan.
“Kerjasama daripada ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk (memastikan) disiplin anak-anak.
“(Jangan) sampai ada yang tidak tahu anak dia baca buku atau tidak, balik malam atau tidak, lakukan kerja sekolah atau tidak, mulai menghampiri dadah atau tidak,” katanya. – UTUSAN











