KUALA LUMPUR: Hanya 20 peratus pembeli dalam talian di Malaysia memenuhi penanda aras pembeli bijak atau Savvy Shopper, lebih rendah berbanding purata serantau sebanyak 24 peratus, menurut kajian terbaharu Lazada dan Cube Asia.
Laporan 2026 eCommerce Savvy Shopper: Asia Tenggara itu mendapati kumpulan pembeli berkenaan berbelanja 36 peratus lebih tinggi setiap bulan berbanding pembeli umum, sekali gus menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan e-dagang di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, matlamat syarikat itu adalah untuk membantu rakyat Malaysia berbelanja dengan bijak, bukannya berbelanja lebih.
“Sama ada barangan dapur untuk kegunaan mingguan, kelengkapan persekolahan atau perkakas rumah baharu, memastikan setiap ringgit digunakan sebaiknya penting bagi semua peringkat pendapatan.
“Tawaran yang baik tidak sepatutnya berakhir di kaunter pembayaran. Pengguna perlu dapat membandingkan kos keseluruhan, mengetahui pihak yang menjual produk kepada mereka dan yakin terhadap sokongan yang tersedia selepas pembelian,” katanya ketika sesi meja bulat media berkenaan laporan tersebut di sini hari ini.
Kajian berkenaan melibatkan 6,000 pembeli dalam talian berusia antara 18 hingga 61 tahun di enam pasaran Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengasas Bersama Cube Asia, Simon Torring berkata, peratusan pembeli bijak di Malaysia yang lebih rendah berbanding purata serantau tidak semestinya menunjukkan kelemahan dalam ekosistem e-dagang negara.
Sebaliknya, tahap perlindungan yang tersedia dalam persekitaran pembelian dalam talian sesebuah negara turut mempengaruhi sejauh mana pengguna perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga ketika membeli-belah.
“Di negara yang mungkin tidak mempunyai perlindungan platform, penjual atau kerajaan yang kukuh, tanggungjawab lebih besar terletak pada pengguna untuk mengamalkan tingkah laku ini bagi melindungi diri mereka.
“Sebahagian daripada skor Malaysia juga berkaitan dengan ekosistem e-dagang negara yang berfungsi dengan baik. Platform berdaftar secara tempatan dan kami mendapati bahagian pengalaman pembelian yang berjaya atau positif lebih tinggi berbanding pasaran lain,” katanya.
Tambahnya, Malaysia berada pada kedudukan yang baik berdasarkan dapatan kajian itu, justeru peratusan pembeli bijak perlu dilihat bersama faktor perlindungan dan pengalaman pembelian yang tersedia kepada pengguna.
Kajian itu turut mendapati sebanyak 17 peratus pembeli dalam talian Malaysia dikategorikan sebagai Near-Savvy Shopper, iaitu kumpulan yang memenuhi tiga daripada empat penanda aras pembeli bijak.
“Daripada kumpulan itu, sebanyak 45 peratus masih belum memenuhi penanda aras pengesahan maklumat produk, termasuk semakan butiran, ulasan dan maklumat ketulenan sebelum membuat pembelian,” katanya.
Kajian itu turut mendapati sebanyak 62 peratus responden Malaysia menyemak butiran penjual sebelum membeli, menunjukkan kepentingan maklumat yang jelas dan boleh dipercayai dalam membina keyakinan pengguna terhadap transaksi dalam talian.
Dalam aspek perlindungan pembelian, sebanyak 39 peratus pembeli bijak sanggup membayar lebih untuk mendapatkan perlindungan yang lebih baik, berbanding 24 peratus dalam kalangan pembeli umum.
Selain itu, sejumlah 43 peratus pembeli bijak memperuntukkan lebih separuh perbelanjaan dalam talian mereka kepada bahagian Mall dalam platform e-dagang, berbanding 29 peratus pembeli umum.
Kajian itu menganggarkan perbezaan corak perbelanjaan antara pembeli bijak dengan pembeli umum bersamaan jurang perbelanjaan marketplace tahunan sebanyak AS$900 juta di Malaysia.
Bagaimanapun, angka itu merujuk kepada nilai perbelanjaan yang dikaitkan dengan perbezaan corak perbelanjaan kedua-dua kumpulan dan bukan perbelanjaan tambahan yang terbukti berpunca daripada amalan membeli-belah secara bijak. –UTUSAN











