GRS sasar 14 daripada 25 kerusi Parlimen dalam PRU16 - Armizan

GRS sasar 14 daripada 25 kerusi Parlimen dalam PRU16 – Armizan

ARMIZAN Mohd Ali ditemui pemberita selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan 14 hingga 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan simulasi kiraan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, yang menunjukkan gabungan berkenaan berpotensi memenangi jumlah kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, GRS tidak mahu berpuas hati dengan sasaran tersebut dan akan berusaha mengekalkan sokongan di kawasan yang dimenangi selain meningkatkan sokongan di kawasan lain yang berpotensi untuk dimenangi.

“Jika dilihat dari segi simulasi kiraan undi DUN yang lepas, tidak termasuk kehadiran UPKO sekarang, GRS di atas kertas boleh memenangi sekitar 14 hingga 15 kerusi Parlimen.

“Namun, kita mahukan lebih daripada itu. Kita mahu solidariti suara rakyat Sabah yang lebih padu melalui GRS dengan jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya ditemui pemberita selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Armizan berkata, GRS ketika ini mempunyai tujuh Ahli Parlimen dan mahu menambah jumlah berkenaan bagi memastikan suara Sabah lebih kukuh di Parlimen.

Katanya, sasaran berkenaan penting kerana Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan perwakilan yang mempunyai satu suara akan memberikan kuasa tawar-menawar lebih kuat dalam membawa kepentingan negeri di peringkat Persekutuan.

“Kita tidak hanya mahukan tahap sokongan seperti PRN yang lepas dan kita tidak berpuas hati dengan hanya 14 kerusi tersebut.

“Kita mahukan lebih daripada itu. Disebabkan itulah sasaran dan gerak kerja kita diputuskan supaya lebih strategik dan berfokus,” katanya.

Menurutnya, GRS juga memberi perhatian kepada pemilihan calon yang boleh menang dengan mengambil kira pengajaran daripada PRN Sabah lalu.

Katanya, selain mengenal pasti kawasan berpotensi, suara rakyat yang dizahirkan menerusi keputusan PRN lalu perlu dijadikan pertimbangan dalam menentukan strategi dan calon.

“Calon yang boleh menang adalah sangat penting. Jadi, itu antara pertimbangan dalam perbincangan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN