PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) membayar kos RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan kelewatan 27 hari memfailkan rekod rayuan berhubung fatwa Selangor yang mengisytiharkan dan mewartakan entiti korporat itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Keputusan itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan selepas mendengar hujahan pihak GISBH selaku perayu dan AGC yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta Majlis Agama Islam Selangor selaku responden.
Peguam, Zulfikri Ulul Azmi yang mewakili GISBH memohon lanjutan masa bagi membolehkan rekod rayuan berkenaan difailkan.
Beliau berkata, pihaknya tidak menyedari draf indeks tidak dikemukakan, namun kesilapan itu sudah diperbetulkan.
Bagaimanapun, Peguam Persekutuan, Muhammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili responden membantah rayuan dikemukakan syarikat itu.
“Pihak kami mengekalkan pendirian seperti dalam hujahan dan mengenai kos, kami menyerahkan kepada mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohamed Zaini membenarkan permohonan lanjutan masa dan memerintahkan GISBH membayar kos RM5,000 kepada AGC serta-merta.
“Perayu perlu bayar RM5,000 kepada AGC dengan serta-merta sebab kamu yang silap,” katanya yang bersidang bersama Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Rayuan itu berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Januari lalu, yang menolak permohonan GISBH untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 16 Oktober 2024.
Dalam alasan penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S Narkunavathy memutuskan bahawa cabaran terhadap fatwa berkenaan tidak boleh diteruskan melalui semakan kehakiman di mahkamah sivil kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Beliau antara lain merujuk Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah sivil terhadap perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Mahkamah Tinggi turut meneliti sifat fatwa berkenaan, yang menurut alasan penghakiman itu ditujukan kepada pemimpin, pengikut, pekerja dan ahli GISBH yang beragama Islam.
Bagaimanapun, GISBH dalam memorandum rayuannya mempertikaikan keputusan berkenaan dengan berhujah bahawa cabarannya bukan bertujuan meminta mahkamah sivil menentukan persoalan hukum syarak, sebaliknya meneliti kesahan fatwa serta proses pengeluarannya.
Syarikat itu turut membangkitkan persoalan mengenai pemakaian fatwa terhadap entiti korporat seperti GISBH.
Fatwa berkenaan diwartakan pada 16 Oktober 2024 selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengisytiharkan GISBH sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
GISBH memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 6 Februari lalu.
Pada 18 Oktober 2024, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengisytiharkan dan mewartakan GISBH sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam, selain menetapkan larangan terhadap orang Islam daripada mengamalkan kepercayaan, ajaran dan doktrinnya. – UTUSAN










