EOSB tawar 65 ruang niaga sepanjang jajaran ECRL

EOSB tawar 65 ruang niaga sepanjang jajaran ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pengeoperasian dan penyelenggara Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB) menawarkan 65 ruang niaga dan 35 pakej pengurusan fasiliti kepada usahawan serta kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL.

Tawaran berkenaan diketengahkan menerusi Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL yang berlangsung dari 28 September, melibatkan lima lokasi iaitu Pasir Puteh di Kelantan, Marang dan Dungun di Terengganu, serta Temerloh dan Kuantan di Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd Zaidi Sharif berkata, penglibatan usahawan dan kontraktor tempatan merupakan komponen penting dalam membentuk ekosistem pengoperasian ECRL yang kukuh dan mampan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengoperasian rangkaian ECRL memerlukan sokongan daripada pelbagai penyedia perkhidmatan bagi memastikan stesen, bangunan dan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih, selesa dan berfungsi dengan baik.

“Melalui jelajah ini, EOSB dapat mendekati komuniti usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL serta memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai peluang yang tersedia, syarat penyertaan dan proses pemilihan,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat menyasarkan penawaran sebanyak 65 ruang niaga seperti kiosk dan pushcart di stesen-stesen ECRL bagi perkhidmatan makanan dan minuman, barangan runcit, produk tempatan, cenderamata serta keperluan penumpang.

Sementara itu, sebanyak 35 pakej pengurusan fasiliti bernilai RM12.70 juta bagi 2027 dikenal pasti untuk ditawarkan menerusi proses perolehan. 

Pakej berkenaan merangkumi perkhidmatan pembersihan, penyelenggaraan landskap, kawalan serangga perosak, penyelenggaraan am bangunan dan sistem penyaman udara.

Jelajah julung kali anjuran EOSB itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran seramai 1,665 peserta merangkumi 321 orang di Kelantan, Terengganu (534 orang) dan  Pahang (810 orang). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN