PETALING JAYA : Seramai enam warga Pakistan ditahan selepas dalam operasi bersepadu di Masjid Ahmadiyyah, Kampung Nakhoda dan sebuah premis keagamaan di Jalan Laksmana, Kampung Laksmana, Gombak semalam.
Serbuan itu dilaksanakan secara bersepadu bermula pukul 10.30 pagi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 76 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan.
Katanya, kesemua individu berkenaan dibawa dan dikumpulkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pemeriksaan awal sebelum semakan dokumen dilakukan.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959 dan 1963.
“Seksyen berkenaan berkaitan keperluan warga asing memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, dalam operasi itu, tiada majikan direkodkan terlibat dalam tindakan penguatkuasaan berkenaan.
“Kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya. –UTUSAN











