ECRL sasar 1.4 juta penumpang setahun

ECRL sasar 1.4 juta penumpang setahun

ECRL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kira-kira 1.4 juta penumpang disasar menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setahun bermula 2027 bagi perjalanan yang menghubungkan Lembah Klang dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sasaran itu melibatkan anggaran kadar pengisian penumpang sebanyak 60 peratus pada peringkat awal operasi.

Katanya, jumlah keseluruhan tempat duduk yang dirancang untuk disediakan bagi perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun hadapan pula adalah sekitar 2.2 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebanyak 16 perjalanan sehari akan disediakan dari Jumaat hingga Ahad melibatkan lapan perjalanan bagi setiap arah, manakala 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis dengan enam perjalanan bagi setiap arah.

“Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

“Tren dengan konfigurasi kelas Ekonomi dan Ekonomi Premium mempunyai kapasiti sehingga 425 penumpang manakala konfigurasi yang turut merangkumi kelas Perniagaan mempunyai kapasiti 409 penumpang,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pengumuman kadar tambang ECRL di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini, hari ini.

Darwis berkata, penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November 2026 bagi perkhidmatan penumpang antara Gombak dengan Kota Bharu.

Katanya, operasi komersial penumpang bagi laluan berkenaan disasarkan bermula pada pertengahan Disember tahun ini tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.

“MRL memberikan keutamaan kepada pengujian sistem, keselamatan, pensijilan dan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan perkhidmatan ECRL dapat dimulakan dengan selamat dan teratur.

“Tren ECRL turut berjaya melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh kurang tiga jam 30 minit pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam ketika sesi pengujian.

“MRL dijadualkan memulakan ujian Fault-Free Running (FFR) pada 23 Oktober ini, diikuti operasi percubaan sepanjang November,” katanya.

Mengulas perkembangan projek, beliau berkata, kemajuan keseluruhan pembinaan ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai 98.16 peratus setakat Oktober ini.

Katanya, ujian penerimaan tapak (Site Acceptance Test) dan ujian integrasi sistem (System Integration Test) telah disempurnakan manakala ujian pemanduan tren sejak 25 Ogos lalu merekodkan jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini