KUMPULAN Disagree sekitar dua dekad lalu pernah mewarnai dunia seni tanah air dengan mengetengahkan genre muzik rock alternatif dan grunge. Nama mereka lebih mengukuh terutamanya selepas melahirkan dua album yang masing-masing diterbitkan sekitar 2004 dan 2009. Namun, pada 2011, kumpulan yang dibina hasil keringat lima ahlinya iaitu Zahid, Hamka, Lan, Amir dan Taa secara tiba-tiba menghilang dari radar seni, menimbulkan teka teki dalam kalangan peminat.
Sehinggalah baru-baru ini, ketika melancarkan album Black & White in Colour dan sesi pengumuman showcase pertama selepas 10 tahun, persoalan ke mana menghilangnya Disagree, terjawab.
“Kami dipertemukan ketika berumur 16 tahun, teruja untuk menubuhkan sebuah band. Sejak itu, kami bermain muzik bersama-sama, membuat persembahan di banyak tempat.
“Kemudian kami terbitkan demo sulung, Never Cry Wolf yang diterbitkan pada 1996. Ia terjual 2000 unit.
“Kami kerja keras lagi untuk hasilkan album pertama, At the End of the day yang diterbitkan pada 2004 sebelum album kedua, To Prevent the Earth from Moving with you pada 2009.
“Kami cuba tampilkan kelainan pada album kedua, lebih kreatif dan bereksperimentasi. Malangnya, ia kurang mendapat sambutan seperti album pertama. Peminat keliru, mana perginya muzik grunge yang kami bawakan sebelum ini.
“Kemudian kami sedari perjalanan muzik kami hanya rancak sekitar tiga tahun selepas penerbitan album kedua. Kemudian ia bertukar perlahan. Kami merasakan mungkin tiba masanya untuk kami berehat,” kata Zahid atau nama sebenarnya Mohamed Zahid Yon.

KUMPULAN DISAGREE MENERIMA ANUGERAH ARTIS INGGERIS TEMPATAN TERBAIK DI ANUGERAH INDUSTRI MUZIK ( AIM ) 2005 DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA ( PWTC ) , KUALA LUMPUR
ANUGERAH INDUSTRI MUZIK ( AIM ) 2005
NOTA :
IMBASAN
2 MEI 2005
Zahid berkata, kembalinya Disagree di persada muzik tanah air atas dasar permintaan peminat yang masih mendukung perjuangan muzik mereka sejak kumpulan itu menerbitkan album pertama sehingga sekarang.
“Kami ada juga bertemu peminat sepanjang 10 tahun kami menghilang. Ada antara mereka yang berkecil hati apabila mendapati Disagree sudah tidak bermuzik lagi. Perkara itu ibarat tamparan hebat buat kami.
“Kami mahu tinggalkan legasi. Tapi persoalannya, legasi apa yang mahu ditinggalkan sedangkan band ini tidak aktif bermuzik.
“Jadi, untuk menebus rasa hampa dan mengubat kerinduan peminat, kami putuskan untuk kembali ke arena muzik tanah air dengan material baharu,” ujarnya.
Dalam masa sama, pemain dram band itu, Hamka mengakui banyak perkara yang perlu mereka biasakan kerana perubahan jualan muzik yang sekarang ini lebih menjurus kepada pendigitalan.
“Soalan pertama yang kami tanyakan sesama sendiri adalah macam mana pemuzik sekarang menjual muzik mereka? Kami ini band lama, yang kembali ke dunia seni ketika jualan CD sudah tidak lagi relevan.
“Kami mendapatkan nasihat penggiat seni lain yang menyarankan kami jual material kami secara strim dan promosikan muzik kami secara digital. Keluarkan muzik satu per satu.
“Jadi, kami kena biasakan cara sekarang, bina semula hubungan melalui platform media sosial, buat persembahan secara langsung di TikTok dan Youtube.
“Sejujurnya kami tidak selesa kerana kami terbiasa dengan cara lama. Tapi kami dalam belajar transisi bermuzik zaman sekarang,” katanya.

ALBUM 21 LAGU
Disagree muncul dengan album baharu, Black & White in Colour, memuatkan 21 lagu yang disusun mengikut kronologi penubuhan band berkenaan. Album tersebut turut diterbitkan jurutera bunyi dan penerbit kelahiran Australia, greg Henderson.
Zahid berkata, proses menerbitkan 21 lagu dalam sebuah album mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Namun mereka bernasib baik kerana terdapat lagu yang dimuatkan, ditulis dan digubah semasa 10 tahun kehilangan mereka dalam industri muzik.
“Kami berehat sekitar 2012. Namun sebelum itu kami mempunyai rangkaian lagu yang kami tulis dan gubah, namun tidak dirakamkan, 12 lagu kesemuanya.
“Ketika memutuskan untuk kembali dengan album, kami memilih 12 lagu yang diperam untuk dimuatkan dalam album Black & White in Colour.
“Bagaimanapun, kami merasakan tidak puas dengan jumlah lagu dalam album berkenaan. Jadi, kami putuskan untuk rekod sembilan lagu baharu dan tambah ke dalam album tersebut,” katanya.
KONSERT MENGENANG SOKONGAN PEMINAT
Kembalinya Disagree bukan sekadar persinggahan yang bersifat sementara, namun sebagai pemberitahuan yang kumpulan ini bersedia untuk meneruskan perjuangan muzik mereka kerana adanya sokongan peminat.
Konsert tersebut yang diadakan di REXKL itu menjadi petanda kepada lebih banyak produk muzik yang akan dihasilkan sesuai dengan pendengar generasi kini.
“Kami kembali untuk peminat. Mereka gembira melihat kami bermuzik semula. Jadi, kami hanya melunaskan permintaan mereka.
“Kami membuat keputusan untuk mengadakan konsert yang pada awalnya hanyalah sebuah showcase yang mana mengandungi lima lagu. Namun demi peminat, kami buat dalam skala yang lebih besar.
“Konsert ini disusun mengikut kronologi penubuhan Disagree. Ia menceritakan tentang lagu pertama yang kami tulis, berhijrah dari Johor ke Kuala Lumpur ketika kami berusia 16 tahun dan kisah perjalanan muzik sekarang,” kata Zahid.
Kata Zahid lagi, mereka berdepan banyak cabaran bermuzik mengenang evolusi pemuzik zaman sekarang yang melibatkan teknologi dalam membuat persembahan.
“Ketika mula bermuzik dahulu, kami hanya membuat persembahan secara plug and play sahaja. Kami bermula ketika zaman sebelum kewujudan media sosial.
“Zaman berubah. Teknologi semakin diraikan. Sekarang sudah ada kelengkapan yang lebih canggih seperti in ear monitor (IEM), fail yang mengandungi bunyi alat muzik atau stem, keyboard dan banyak lagi.
“Kami terfikir, bagaimana sebuah band yang terbiasa bermuzik dengan cara lama, dapat menyesuaikan diri dengan teknologi zaman sekarang? Kami juga mahu bergerak ke depan.
“Bukan mudah untuk kekal relevan. Kami harus beradaptasi dengan teknologi sekarang dan media sosial.
“Yang penting kami kena sentiasa saling berhubung dengan peminat dengan menggunakan platform TikTok Live, Youtube Live dan sebagainya,” kongsinya.











