MELAKA: DAP memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas menilai peluang untuk menang adalah sukar.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan strategik bagi memastikan parti berkenaan dapat menumpukan kekuatan jentera sumber dan perhatian kepada tujuh kerusi yang dilihat berpeluang cerah untuk mencapai kemenangan.
Menurutnya, DAP membuat penilaian terhadap setiap kerusi berdasarkan peluang untuk menang dan tidak semata-mata mempertimbangkan kedudukan tradisi parti di sesuatu kawasan.
Beliau berkata, Bemban merupakan satu-satunya kerusi yang ditandingi DAP pada PRN lalu yang menyaksikan parti itu berada di tempat ketiga sedangkan di kerusi lain yang gagal dimenangi, DAP berada di kedudukan kedua.
“Yang pertamanya, ini adalah keputusan strategik parti. Kami menilai mana-mana kerusi yang ditandingi berdasarkan kebolehan menang.
“Kalau mengikut rekod keputusan kami pada pilihan raya lalu, Bemban merupakan satu-satunya kerusi yang kami tandingi pada pilihan raya lepas di mana kita berada di kedudukan ketiga, bukan kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI di sini hari ini.
Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, keputusan untuk tidak bertanding di Bemban membolehkan parti itu memberikan tumpuan lebih besar kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai sasaran dalam menghadapi persaingan pada PRN kali ini.
Katanya, DAP tidak mahu kekuatan dan sumber parti dipecahkan kepada terlalu banyak kawasan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap kerusi yang ditandingi.
“Kami hendak pastikan kekuatan dan sumber kami termasuk fokus, ditumpukan kepada kerusi-kerusi yang kita boleh menang.
“Sebab itu kamo bertanding tujuh kerusi sahaja kali ini dan tidak termasuk Bemban. Itu satu keputusan teknikal dan strategik yang dibuat oleh parti,” katanya.
Menurutnya, empat daripada tujuh kerusi yang ditandingi DAP pada PRN kali ini merupakan kerusi penyandang sekali gus menjadikan usaha mempertahankan kawasan berkenaan antara keutamaan parti.
Mengulas rasa tidak puas hati yang timbul susulan keputusan pembahagian kerusi, Anthony Loke berkata, perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam sesebuah parti politik.
Katanya, setiap keputusan mengenai pemilihan kawasan dan calon dibuat berdasarkan pertimbangan kepemimpinan tertinggi meskipun mungkin terdapat pihak yang mempunyai pandangan berbeza. – UTUSAN











