KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak adalah tidak berasas.
Ini kerana penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bukan bermaksud projek pembangunan yang diluluskan dibatalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat kepada RM2.11 bilion bagi 2026 dan RM2.27 bilion bagi 2027.
Beliau berkata, sebelum pentadbiran Kerajaan Madani, peruntukan JALB tidak pernah mencecah RM1 bilion manakala peruntukan RM1.09 bilion hanya mula disediakan pada 2023.
“Ini bukti jelas komitmen pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak.
“Penangguhan pengeluaran SST baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan,” katanya dalam kenyataan.
Mustapha berkata, Kementerian Kewangan turut meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kepada kontraktor JALB.
Menurutnya, isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor.
Beliau berkata, arahan menangguhkan pengeluaran SST baharu pada 10 September 2026 adalah langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan.
Katanya, kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan melalui pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Mustapha berkata, dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan peruntukan atau pembatalan projek tidak seharusnya dibuat berdasarkan andaian semata-mata.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang membuat dakwaan berkenaan mengemukakan senarai projek terbabit, nilai peruntukan serta status pembatalan sebagai bukti.-UTUSAN











