PETALING JAYA: Pelakon, Catriona Ross menyifatkan pertanyaan mengenai bila seseorang individu mahu mendirikan rumah tangga merupakan sesuatu yang kurang sopan, lebih-lebih lagi jika diajukan secara terbuka.
Menurut Catriona, soalan sedemikian bukan sahaja sensitif, bahkan mampu menjatuhkan keyakinan atau maruah individu yang sering diasak pertanyaan yang sama.
“Secara peribadi, saya rasa kurang sopan apabila secara terang-terangan tanya seseorang, ‘bila mahu kahwin?’.
“Tidak kiralah sama ada individu itu belum pernah berkahwin atau sudah bercerai, perkara sebegini tidak sepatutnya dijadikan topik perbualan di khalayak ramai.
“Soalan itu juga boleh menyebabkan individu berkenaan berasa terhina,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Dalam pada itu, Catriona turut mempersoalkan sikap segelintir masyarakat yang menganggap pertanyaan mengenai hal peribadi seseorang sebagai perkara biasa tanpa mengambil kira perasaan individu tersebut.
“Mengapa kita merasakan diri kita berhak untuk bertanyakan soalan yang begitu peribadi, seolah-olah ia bukan sesuatu yang besar? Sama-sama kita bincangkan. Sesuatu untuk direnungkan,” tegasnya.
Meskipun tidak memperincikan tujuan perkongsian itu dimuat naik, rata-rata netizen berpendapat Catriona tampil mempertahankan pelakon, Farahdhiya selepas mengulas isu yang sama, semalam.
Sebelum ini, Farahdhiya meluahkan rasa kurang selesa apabila kerap diajukan pertanyaan mengenai bila dirinya mahu mengakhiri zaman bujang ooeh individu yang kurang rapat.











