KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memberi penjelasan berhubung penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Bersatu berikutan persoalan mengenai penggunaan logo gabungan itu pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, pihak yang dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai penandatangan berkaitan penggunaan logo PN adalah Pengerusi PN.
“Jadi, macam mana Bersatu nak bertanding menggunakan logo PN? Kena tanya Bersatu balik bagaimana mereka hendak gunakan logo itu,” katanya selepas mengiringi Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Seminar Biodiversiti Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Beliau berkata, PN akan terus menggunakan logonya pada pilihan raya akan datang.
Mengulas mengenai rundingan pembahagian kerusi, Ahmad Samsuri berkata, prinsip asas yang dipersetujui bersama perlu diteruskan bagi menghadapi PRN Melaka dan plihan raya umum akan datang.
Menurutnya, perkembangan di Melaka adalah sebahagian daripada pelaksanaan prinsip asas yang dibincangkan dalam rundingan antara parti komponen sebelum ini.
“Kita harap prinsip asas itu dapat diteruskan dalam rundingan-rundingan yang selanjutnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, nama calon daripada parti komponen yang berhasrat bertanding sudah dikemukakan dan pengumuman rasmi calon dijadualkan dibuat malam esok.
Mengenai persiapan jentera pilihan raya, Menteri Besar Terengganu itu berkata, pertemuan dan perbincangan antara wakil PN dengan wakil parti komponen sudah diadakan bagi menyelaraskan gerak kerja bersama.
Beliau berkata, model kerjasama yang dilaksanakan di Melaka dijangka ditambah baik berdasarkan pengalaman di Negeri Sembilan. – UTUSAN











