ALOR SETAR: Seorang bekas pemain bola sepak didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, September lepas.
Tertuduh, Muhammad Faiz Nazri, 26, yang pernah bermain untuk skuad Piala Presiden sebuah negeri hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar kanabis seberat 72 kilogram (kg) di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Alor Setar di Lebuhraya Utara Selatan, di sini kira-kira pukul 6.30 petang, 24 September lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sharmila Md. Asri, manakala tertuduh yang berasal dari Perlis tidak diwakili peguam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Dia berhadapan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati akan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya disabit kesalahan.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 2 Februari tahun depan bagi serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.
Muhammad Faiz yang pernah bermain dalam skuad Piala Presiden 2019 diperintahkan ke Penjara Alor Setar sehingga tarikh sebutan tersebut.-UTUSAN











