PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan kewangan diminta menghubungi keluarga kepada 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir kilat di kawasan Nepal-Tibet bagi membantu waris memahami dan menguruskan urusan pentadbiran berkaitan kewangan mangsa.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, satu pertemuan diadakan hari ini bersama waris mangsa terlibat bagi memahami dengan lebih mendalam isu dan cabaran yang dihadapi mereka dalam menguruskan urusan kewangan berkaitan mangsa.
Menurut BNM, pertemuan itu mencapai persetujuan supaya pegawai perhubungan khusus daripada penyedia perkhidmatan kewangan menghubungi keluarga masing-masing bagi memberikan panduan serta membantu waris menguruskan proses pentadbiran yang diperlukan.
“Pertemuan itu turut bertujuan mengenal pasti penyelesaian yang bersesuaian dan munasabah bagi menangani kesukaran yang dihadapi waris dalam menguruskan urusan kewangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, BNM menyampaikan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi berkenaan.
BNM bersama wakil industri kewangan turut menegaskan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada keluarga terjejas, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa serta keperluan kawal selia berkaitan.
Turut hadir ialah wakil industri kewangan, termasuk Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) serta wakil penyedia perkhidmatan kewangan.
Terdahulu, keluarga kepada 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir kilat di kawasan Nepal-Tibet memerlukan kerangka bantuan kemanusiaan yang tersusun bagi mengelakkan mereka berdepan tekanan kewangan tambahan ketika menunggu perkembangan mengenai nasib ahli keluarga masing-masing.
Beberapa isu utama dibangkitkan wakil keluarga dalam pertemuan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini, termasuk permohonan moratorium selama enam bulan bagi kemudahan pinjaman yang layak.
Antara tuntutan utama ialah penangguhan bayaran bagi pembiayaan peribadi, pinjaman kenderaan dan sewa beli tanpa pengumpulan faedah atau keuntungan, caj lewat bayar serta penalti sepanjang tempoh berkenaan. – UTUSAN











