MELAKA: Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara konsisten sebagai agenda nasional, termasuk memperluas penggunaannya dalam kalangan generasi muda tanpa mengabaikan penguasaan bahasa Inggeris.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, usaha itu bukan sekadar memastikan bahasa kebangsaan terus digunakan, malah memperkayakan kosa kata serta meningkatkan kemahiran berbahasa dalam masyarakat.
Menurutnya, penguasaan bahasa Melayu perlu diperkukuh menerusi pelbagai platform termasuk pertandingan pidato yang memberi ruang kepada mahasiswa menyampaikan pandangan dengan hujah bernas dan berlandaskan ilmu.
“Dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris adalah dasar yang sangat penting untuk negara.
“Kita perlu konsisten memastikan penggunaan, pengayaan dan peluasan kemahiran bahasa Melayu terus menjadi sebahagian daripada agenda nasional,” katanya pada Pertandingan Akhir Pidato Arena Wacana Aspirasi Mahasiswa Peringkat Institusi Pengajian Tinggi bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2026 di Dewan Auditorium Bangunan Canselori Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
Beliau turut menyampaikan hadiah RM1,000 kepada pemenang johan pidato iaitu penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Putra Haikal Ikhwansyah Nafarulzian.
Naib juara disandang Yang Asyraf Asyran Rashidi, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia Proses Kimia Industri di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mendapat RM800.
Fadhlina berkata, penguasaan bahasa turut memainkan peranan penting dalam membentuk budaya ilmu, khususnya apabila generasi muda perlu berupaya menyampaikan pandangan secara tersusun, berhemah dan disokong hujah yang kukuh.
Katanya, kebebasan bersuara bukan bermaksud seseorang boleh mengemukakan pandangan tanpa batas, sebaliknya perlu disertai tanggungjawab serta adab, terutama ketika berhadapan perbezaan pendapat.
“Apabila kita berbeza pandangan, ia harus disertai hujah yang kuat. Kekuatan untuk berhujah pula datang daripada ilmu dan pembacaan yang lebih mendalam.
“Dalam masyarakat, perbezaan pandangan juga mempunyai pedomannya. Kita perlu mendidik generasi muda supaya memahami bahawa kebebasan bersuara mesti didasari adab dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya membaca sebagai asas membentuk masyarakat berilmu, sambil mengingatkan mahasiswa supaya tidak menganggap pembacaan sekadar hobi, sebaliknya menjadikannya disiplin harian. – UTUSAN











