KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengutamakan bantuan berbentuk peralatan dan kemudahan menjana pendapatan berbanding pemberian wang tunai atau subsidi semata-mata bagi membolehkan rakyat membina kehidupan lebih stabil dalam jangka panjang.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pendekatan itu penting supaya peruntukan kerajaan dapat dimanfaatkan untuk membantu rakyat bekerja, membangunkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup secara berterusan.
Beliau berkata, pemberian peralatan seperti mesin serta kelengkapan kerja membolehkan penerima menggunakannya untuk tempoh panjang, berbanding bantuan tunai yang mungkin habis dibelanjakan dalam masa singkat.
“Kalau kita ada peruntukan, rakyat kita bagi kail, jangan kita bagi ikan. Kalau kita bagi subsidi, kita bagi ikan, ia mengajar rakyat ini malas,” katanya ketika pembahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kerajaan perlu membentuk pendekatan bantuan yang mendorong rakyat berusaha sendiri dan mencari peluang untuk meningkatkan pendapatan, bukannya bergantung kepada bantuan secara berterusan.
Beliau berkata, pemberian peralatan seperti periuk, kuali, mesin dan alat kerja boleh membantu penerima membangunkan sumber pendapatan yang berpotensi meningkatkan kehidupan mereka.
“Kalau kita bagi duit, kalau dia boleh guna seminggu, seminggu habis. Tapi kalau kita bagi periuk, kuali, kita bagi mesin, kita bagi alat, dia boleh gunakan alat ini bertahun-tahun dan mungkin dia boleh bangkit dengan baik,” katanya.
Nik Muhammad Zawawi berkata, berdasarkan penelitian terhadap Belanjawan 2027, peruntukan bagi usaha memperkasa rakyat masih tidak mencukupi dan perlu diberi perhatian lebih serius oleh kerajaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui bantuan kewangan masih diperlukan oleh golongan tertentu yang berdepan kekangan untuk bekerja dan menjana pendapatan sendiri.
Antara golongan yang memerlukan bantuan itu ialah ibu tunggal yang menanggung ramai anak, selain individu yang sakit dan orang kurang upaya (OKU).
Justeru, beliau menggesa kerajaan meneliti semula kaedah pengagihan bantuan supaya peruntukan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar serta memberi manfaat berpanjangan kepada penerima. – UTUSAN











