BAGAN SERAI: Perenang para, Amirul Akil Mohd I’zzat Emir, 13, mencatat kejayaan apabila meraih tiga pingat emas dan satu perak serta memecahkan dua rekod kebangsaan pada Para Sukma Selangor 2026 bulan lalu.
Remaja kurang upaya penglihatan itu yang mewakili Selangor namun bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mudzaffar Shah, Semanggol, turut mencipta satu rekod kejohanan.
Mula yang mewakili Selangor sejak April lalu, Amirul Akil merangkul emas acara renang 100 meter (m) gaya bebas , 100m kuak lentang dan 100m kuak dada selain perak bagi acara 50m gaya bebas.
Dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan menerusi acara 100m gaya bebas dengan catatan satu minit 5.97 saat dan 100m kuak lentang, satu minit 19.84 saat, manakala rekod kejohanan dicipta dalam acara 100m kuak dada.
Amirul Akil berkata, meskipun berasa gementar ketika bertanding, perasaan itu tidak sampai membuatkannya takut atau hilang keyakinan untuk memberikan persembahan terbaik.
“Saya mahu melakukan lebih baik daripada pencapaian sekarang. Saya mahu mencapai sesuatu yang sebelum ini tidak pernah saya bayangkan mampu dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Merah di sini hari ini.
Sementara itu, jurulatihnya, Aznil Suhaili Jamaludin, 40, berkata, dia masih mengingati saat ibu Amirul Akil datang menemuinya pada suatu petang dan memaklumkan anaknya didakwa dipukul seorang guru.
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukannya ketika itu mendapati terdapat kesan bengkak di bahagian belakang kepala remaja berkenaan, berhampiran telinga.
“Sebagai jurulatih, saya perlu memeriksa keadaannya terlebih dahulu. Apabila melihat bengkak di kawasan kepala berhampiran telinga, saya menyedari bahawa keadaan itu berbahaya sekiranya dia terus berenang,” katanya.
Ibunya, Syahmina Mohd Azim, 41, pula berharap pencapaian anaknya mendapat perhatian pihak berkaitan di Perak supaya bakat remaja itu dapat dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
“Setakat ini, kami masih belum mendapat dan mengetahui tawaran yang boleh diberikan kepada atlet OKU di Perak.
“Sekiranya Akil mahu mewakili Perak, kami berharap pihak negeri dapat mempertimbangkan sokongan terbaik untuknya,” katanya. – UTUSAN











