KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Kamal Adli, 40, meminta netizen Indonesia berhenti menyalahkan negara lain atas isu kebakaran hutan yang sehingga kini mengakibatkan jerebu di negara jiran.
Kata Kamal, netizen Indonesia sepatutnya bersama-sama membantu menyelesaikan masalah jerebu bukan menuding jari kepada negara lain.
“Dah la itu jiran. Cukuplah nak salahkan orang lain. Sini hari-hari hujan tapi tetap tebal juga jerebunya.
“Banyak video budak-budak tertangkap tengah bakar hutan.
“Mari sama-sama selesaikan masalah bukan cari salah,” katanya dalam Thread.
Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli itu menegaskan kebakaran hutan berpunca dari Kalimantan, bukan negara lain.
Katanya disebabkan itu, negara jiran menanggung derita akibat masalah jerebu yang masih belum selesai.
“Api tu memang datang dari sana (Indonesia) bukan sini. Sini tengah tanggung sakit,” ujarnya.- UTUSAN











