PETALING JAYA: Pas diminta menjelaskan sama ada bersedia menerima Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, persoalan itu timbul berikutan ramalan penganalisis politik, Ong Kian Ming bahawa Ahmad Zahid berpotensi mendapat sokongan Sabah dan Sarawak untuk jawatan berkenaan jika BN dan Pas atau Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.
Katanya, Pas juga perlu menjelaskan asas pertimbangannya memandangkan parti itu pernah mempersoalkan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika beliau berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
“Kalau pendirian Pas berubah, apa yang berubah? Kalau pendirian Pas tidak berubah, bagaimana Pas boleh menerima Zahid sebagai Perdana Menteri?
“Apa yang rakyat bangkitkan adalah persoalan konsistensi dalam prinsip yang Pas sendiri pernah gunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, perkara itu bukan bertujuan menghukum Ahmad Zahid sebelum proses kehakiman selesai, sebaliknya menyentuh soal keyakinan, integriti, ketelusan dan standard kepimpinan negara.
Menurut Mahfuz, beliau tidak mengatakan Ahmad Zahid bersalah, namun rakyat berhak menilai rekod serta prinsip seseorang yang disebut sebagai bakal pemimpin kerajaan.
“Kalau dahulu 47 pertuduhan dijadikan asas untuk mempersoalkan kelayakan Zahid berada di kerusi Timbalan Perdana Menteri, rakyat mempunyai hak yang sama untuk bertanya apabila nama yang sama disebut untuk kerusi Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Mahfuz, prinsip tidak sepatutnya berubah mengikut jawatan atau hubungan antara parti politik.
“Kalau Pas bersedia menerima Zahid sebagai Perdana Menteri, jelaskan kepada rakyat apa asas pertimbangannya.
“Kalau tidak bersedia, jelaskan pula bagaimana UMNO dan Pas mahu membentuk kerajaan dan menentukan siapa Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN











