Anwar kecam hipokrasi dunia terhadap Palestin - Utusan Malaysia

Anwar kecam hipokrasi dunia terhadap Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama mereka yang terlibat ketika menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Global Sumud Congress 2026 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) hari ini.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sikap hipokrit masyarakat antarabangsa yang gagal mempertahankan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia secara adil, khususnya terhadap rakyat Palestin yang terus ditindas sejak lebih 70 tahun lalu.

Beliau mempersoalkan layanan berbeza terhadap rakyat Palestin, termasuk sama ada keadaan itu berpunca daripada identiti mereka sebagai bangsa Arab, rakyat Palestin atau umat Islam.

Menurutnya, prinsip demokrasi dan hak asasi manusia tidak seharusnya sekadar menjadi retorik, sedangkan rakyat Palestin terus diperlakukan seperti haiwan dan hamba.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita dibangunkan sebagai anak-anak dari negara yang terjajah dan diajar oleh ibu bapa untuk menentang segala bentuk penjajahan, ketidakadilan serta kezaliman.

“Apabila kita dewasa, kita melihat kekejaman di depan mata dan kegagalan dunia bukan sahaja untuk memperjuangkan, malah untuk menyuarakan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara, Global Sumud Congress 2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata, perjuangan membebaskan Palestin tidak boleh dilihat sebagai isu yang hanya timbul sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, sebaliknya penderitaan rakyatnya telah berlarutan selama beberapa dekad.

Katanya, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap penindasan dan kekejaman yang menimpa rakyat tidak berdosa, khususnya kanak-kanak yang terpaksa menanggung penderitaan berpanjangan.

“Bagaimana kita hendak membandingkan rayuan dan tangisan bayi serta kanak-kanak yang menderita selama beberapa dekad dengan masalah kita sendiri?

“Mereka merayu supaya dunia mendengar, tetapi dunia seolah-olah pekak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya terus menghulurkan tenaga, khidmat dan sokongan bagi membantu rakyat Palestin meskipun berdepan pelbagai risiko serta cabaran.

Menurutnya, setiap usaha, sekecil mana sekalipun, tetap bermakna dan tidak seharusnya diketepikan hanya kerana masyarakat sibuk dengan urusan masing-masing.

Beliau turut menghargai penyertaan aktivis dan rakan solidariti dari pelbagai negara yang terus menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, kehadiran mereka membuktikan bahawa suara yang menuntut kebebasan dan keadilan masih wujud di seluruh dunia, termasuk Eropah, Amerika, Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen penuh Kerajaan MADANI terhadap perjuangan rakyat Palestin menerusi penyertaan beliau bersama barisan menteri dan pemimpin kanan kerajaan dalam program berkenaan.

Beliau berharap usaha berterusan masyarakat antarabangsa dapat meningkatkan kesedaran global serta mengukuhkan tekanan bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Insya-Allah, saya percaya keadilan akan menang dan Palestin akan bebas,” katanya.

Anwar turut berdoa agar Allah SWT merestui segala usaha membantu rakyat Palestin serta menjamin kebebasan Palestin, Gaza dan Masjid Al-Aqsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini