Akta Perkhidmatan Parlimen bukti komitmen reformasi kerajaan

Akta Perkhidmatan Parlimen bukti komitmen reformasi kerajaan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) bukti komitmen Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi institusi dengan mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas hampir tiga dekad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu membolehkan Parlimen membangunkan sistem pentadbiran, kepakaran dan kekuatan institusinya sendiri tanpa campur tangan eksekutif dalam urusan pentadbiran.

“Antara bukti yang komitmen nyata kerajaan perpaduan dalam melaksanakan reformasi institusi ialah mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, Akta 869, yang telah berkuat kuasa 1 Oktober 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha ini mengembalikan perkhidmatan Parlimen yang tersendiri setelah kian lama tiga dekad sejak pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada tahun 1992.

“Malah, saya telah memberikan penerangan kepada Dewan Yang Mulia ini pada 15 Oktober tahun ini, berhubung pelaksanaan Akta termasuk penubuhan fungsi dan kuasa Majlis Perkhidmatan Parlimen,” katanya ketika menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya lagi, sebagai perbandingan, Australia mengambil masa lebih kurang satu abad sejak penubuhan Parlimen Persekutuannya pada tahun 1901, sebelum mewujudkan perkhidmatan Parlimen yang berasingan melalui Parliamentary Service Act 1999.

“Namun, di Malaysia pula, Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen dalam tempoh kurang daripada empat tahun pentadbirannya. Ini membuktikan bahawa apabila wujud keazaman politik yang jelas, reformasi institusi yang sekian lama tertangguh mampu direalisasikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Mengenai cadangan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) supaya mempunyai pasukan penggubal undang-undangnya sendiri (Parliamentary Draftsmen), Azalina berkata, cadangan tersebut amat progresif dan wajar diberi perhatian dalam kerangka pengoperasian perkhidmatan Parlimen di bawah Akta 869, termasuk kepada penelitian Majlis Perkhidmatan Parlimen, serta keperluan penjawat dan perundangan yang berkaitan.

“Sudah tentu semua perkara ini boleh dibincang dan dibawa bersama untuk diputuskan kerana eksekutif memang tidak akan campur tangan dalam pentadbiran perkhidmatan Parlimen dan isu-isu yang berkaitan dalam aspek pentadbiran.

“Parlimen ini bukan sekadar kebebasan pentadbiran daripada cabangan eksekutif bagi pihak Parlimen, tetapi juga berkeupayaan untuk membangunkan kepakaran dan kekuatan institusi Parlimen itu sendiri.

“Inilah pembaharuan yang kita laksanakan, bukan sekadar perubahan kepada undang-undang, tetapi membina sistem yang mampu berfungsi dengan baik tanpa bergantung kepada individu yang hanya memegang jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina turut berkata, hala tuju Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund, CDF) akan ditentukan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) selaras dengan pelaksanaan autonomi pentadbiran institusi itu.

Katanya, kerajaan menyerahkan kepada MPP untuk menentukan keutamaan dan hala tuju berkaitan perkara itu tanpa arahan daripada pihak eksekutif.

“Apabila bercakap tentang isu yang dibawa oleh Yang Berhormat Arau mengenai Constituency Development Fund, kita meletakkan kepada Majlis Perkhidmatan Parlimen untuk membincangkan hala tuju itu sendiri.

“Terpulang kepada hala tuju MPP. Walaupun ada tiga ahli ex officio yang tidak mengundi dan mewakili suara kerajaan untuk memberikan pendapat serta pandangan, undi tetap berdasarkan majoriti,” katanya.

Katanya lagi, MPP turut berperanan memperkukuh kebebasan institusi Parlimen daripada pengaruh eksekutif, termasuk dalam pengurusan pegawai dan pelaksanaan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Apabila kita menentukan dalam MPP tidak ada langsung wakil eksekutif, bererti eksekutif tidak boleh mendominasi perbincangan dalam MPP.

“Jadi, terpulang kepada kebijaksanaan MPP yang dipimpin dua Speaker dan rakan-rakan kita dalam MPP untuk menentukan sama ada kita mahu membincangkan lebih daripada pentadbiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini