KOTA BHARU: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai fasilitator yang mendapat kepercayaan semua pihak, selain memberikan momentum baharu kepada proses dialog damai berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pengalaman, kewibawaan dan kepimpinan Ahmad Norihan dijangka membantu menjayakan pendekatan lebih menyeluruh serta berorientasikan penyelesaian dalam usaha mencapai keamanan di wilayah Selatan Thailand.
“Pelantikan ini turut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memudah cara dialog secara konstruktif bagi menyokong usaha mencapai penyelesaian yang aman, menyeluruh dan berkekalan,” katanya.
Ahmad Norihan merupakan bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ke-17 yang berkhidmat dari 1 Ogos 2020 hingga 30 November 2023.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 33 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan kepakaran dalam bidang perisikan strategik, risiko pertahanan, analisis keselamatan serta pengurusan operasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerahan di Rejimen 502 Askar Wataniah pada 15 Mei 1987 sebelum menyertai Kor Risik Diraja pada 10 Oktober 2002.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau memainkan peranan dalam memperkukuh keupayaan perisikan pertahanan, menyelaras penilaian strategik serta membekalkan maklumat risikan bagi menyokong keputusan kepimpinan tertinggi negara dan ATM.
Sementara itu, kerajaan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Mohd. Rabin Basir atas khidmat beliau sebagai fasilitator sebelum ini. – UTUSAN











