DUNGUN: Sebanyak 48 biji telur penyu belimbing diselamatkan selepas seekor ibu penyu belimbing itu kembali mendarat untuk bertelur di Pantai Rantau Abang di sini, hari ini.
Pendaratan itu adalah kejadian kelima direkodkan di sepanjang pesisir pantai Terengganu bagi musim ini, menjadikan jumlah keseluruhan telur yang ditemukan daripada lima pendaratan berkenaan sebanyak 313 biji.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, Jabatan Perikanan menerusi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang mengumpulkan semua telur berkenaan sebelum dipindahkan ke tapak penetasan terkawal bagi tujuan perlindungan dan pemantauan.
Katanya, Raja Penyu berkenaan naik ke pantai kira-kira pukul 3 pagi sebelum bertelur pada 4.30 pagi dan kembali ke laut kira-kira pukul 5.45 pagi ketika air laut pasang.
“Pendaratan itu dikesan orang awam yang segera menghubungi pihak TCIC Rantau Abang bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Hasil pemeriksaan mendapati laluan penyu berkenaan berukuran kira-kira 2.1 meter lebar dan 15 meter panjang, manakala kedalaman sarang asalnya dianggarkan 110 sentimeter,” katanya di sini.
Adnan berkata, semua 48 biji telur itu dipindahkan ke tapak penetasan terkawal di TCIC Rantau Abang kira-kira pukul 7 pagi.
“Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang turut merakam gambar penyu berkenaan bagi tujuan pengecaman selain membantu menjejaki pola pendaratan berulang serta menyokong kajian dan usaha pemuliharaan spesies itu.
“Pengurusan telur secara terkawal, pemantauan sarang dan perlindungan kawasan pendaratan merupakan antara langkah penting bagi memastikan kelangsungan populasi penyu, khususnya spesies yang berdepan pelbagai ancaman,”katanya.
Rekod empat pendaratan terdahulu bagi musim ini melibatkan 44 biji telur di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 September; 81 biji telur di Pantai Rantau Abang pada 13 September; 70 biji telur di Pantai Kuala Abang pada 22 September; serta 70 biji telur di Pantai Jambu Bongkok pada 1 Oktober lalu. – UTUSAN








