KUALA NERUS : Seramai 2,829 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal diraikan pada Istiadat Konvokesyen UMT Ke-24 yang berlangsung dari 18 hingga 21 Oktober 2026, sekali gus membawa potensi besar untuk menjadi pemacu pembangunan Ekonomi Biru negara menerusi penguasaan ilmu, kemahiran, inovasi dan kepakaran dalam pemanfaatan sumber marin dan akuatik secara mampan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,565 merupakan graduan prasiswazah, manakala 264 lagi ialah graduan pascasiswazah yang terdiri daripada 90 graduan doktor falsafah (PhD) dan 174 graduan sarjana.
Istimewanya, istiadat konvokesyen kali ini turut meraikan seramai 79 graduan antarabangsa dari 15 negara, iaitu Jordan, Algeria, Bangladesh, India, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Palestine, Tanzania, Yemen dan Amerika Syarikat.
Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian komuniti akademik UMT serta peranan universiti dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pertukaran ilmu, pengalaman dan perspektif global.
Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, pemerkasaan bakat graduan merupakan elemen penting dalam memastikan potensi sumber laut dan perairan negara dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang mampan, inovatif dan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem.

Menurut beliau, Ekonomi Biru bukan sekadar berkaitan penggunaan sumber laut, malah merangkumi pembangunan industri berasaskan marin dan akuatik secara bertanggungjawab melalui gabungan ilmu pengetahuan, teknologi, inovasi, keusahawanan serta pemeliharaan alam sekitar.
“Pemerkasaan bakat graduan bukan sekadar memastikan mereka memperoleh kelayakan akademik, tetapi turut melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal, pemikiran kritis, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.
“UMT komited melahirkan graduan yang mampu menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian sebenar, khususnya dalam memajukan sektor berasaskan sumber marin dan akuatik, memperkukuh keterjaminan makanan serta menyokong pembangunan ekonomi yang mengambil kira aspek kelestarian,” katanya.
Beliau berkata, kepakaran UMT dalam bidang sains marin, perikanan, sains akuatik dan pengurusan sumber semula jadi menjadi asas penting dalam membangunkan bakat yang mampu menghubungkan penyelidikan dengan keperluan sebenar industri dan masyarakat.
Sehubungan itu, pendedahan kepada penyelidikan gunaan, pembelajaran berasaskan pengalaman, kerjasama industri dan keusahawanan perlu terus diperkukuh bagi menyediakan graduan menghadapi landskap pekerjaan yang semakin dinamik.
Selain memenuhi keperluan pasaran kerja, graduan juga berpotensi menjadi pencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan perusahaan inovatif dalam bidang akuakultur, bioteknologi marin, produk berasaskan sumber laut, teknologi hijau dan perkhidmatan berkaitan ekonomi marin.
Dalam masa yang sama, penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan semakin penting bagi meningkatkan produktiviti, mempercepat inovasi serta membangunkan penyelesaian yang lebih cekap dan mampan untuk sektor berasaskan sumber biru.
Graduan Antarabangsa Perluas Jaringan Ilmu dan Kerjasama Global

Kehadiran 79 graduan antarabangsa daripada 10 negara turut memperkaya ekosistem akademik UMT melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan perspektif global. Mereka berpotensi menjadi penghubung kepada jaringan kerjasama antara UMT dengan institusi pendidikan tinggi, agensi penyelidikan dan industri di negara masing-masing, khususnya dalam bidang sains marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian sumber akuatik.
Jaringan ini membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan, pertukaran kepakaran dan pemindahan teknologi yang dapat memperluas impak ilmu UMT serta menyokong pembangunan Ekonomi Biru dan kelestarian pada peringkat antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa graduan masa kini perlu melihat laut bukan sekadar sebagai sumber semula jadi, tetapi sebagai ruang yang menawarkan peluang penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi. Bagaimanapun, setiap peluang perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi memastikan sumber berkenaan terus terpelihara untuk generasi kan datang.
Istiadat Konvokesyen UMT Ke-24 Tahun 2026 bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik para graduan, malah menandakan permulaan tanggungjawab mereka untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui kepakaran, integriti serta inovasi.
UMT yakin bahawa pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat, penyelidikan berkualiti dan jaringan kerjasama strategik mampu memperkukuh sumbangan universiti dalam melahirkan modal insan yang menyokong agenda Ekonomi Biru, di samping memperluas impak ilmu dan kepakaran universiti ke peringkat antarabangsa.-UTUSAN











