19 kes DNAA: AG wajib kemuka alasan supaya tidak ditohmah wujud sistem pilih kasih - Peguam

19 kes DNAA: AG wajib kemuka alasan supaya tidak ditohmah wujud sistem pilih kasih – Peguam

ZULQARNAIN LUKMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara diwajibkan untuk membuat satu kenyataan media penuh berserta dengan alasan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kes yang melibatkan ahli politik, penjawat awam JUSA ke atas atau kes yang melibatkan jumlah wang yang besar seperti kes membabitkan amaun melebihi RM1 juta.

Menurut Peguam bela dan Peguam cara, Dr Zulqarnain Lukman berkata, alasan tersebut perlu disiarkan di dalam laman web Pejabat Peguam Negara (AGC) supaya ia kekal menjadi bahan rujukan dan lebih penting untuk mengelakkan tohmahan bahawa wujud sistem pilih kasih.

Beliau berkata, undang-undang berkaitan DNAA ini telah termaktub di dalam Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan ia adalah undang-undang yang sah dan telah diguna pakai semenjak sekian lama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, katanya, persoalan yang bermain di fikiran rakyat adalah adakah orang politik boleh mendapat faedah daripada penggunaan seksyen ini kerana faktor mereka akrab dengan pihak yang mempunyai kuasa atau adakah apa-apa tekanan politik yang menyebabkan mereka mendapat DNAA.

“Jika terlalu ramai ahli politik yang pada mulanya dituduh di Mahkamah dan kemudiannya dilepaskan secara DNAA ini mewujudkan jurang defisit keyakinan (trust deficit) dan ini adalah suatu perkara yang tidak bagus,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 19 kes membabitkan 12 ahli politik diberikan DNAA di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah seluruh negara, antara 2010 hingga Julai lalu.

Azalina berkata, jumlah itu berdasarkan input diterima daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) serta semakan terhadap rekod kes jenayah di mahkamah.

Zulqarnain berkata, jawapan Azalina itu juga adalah satu jawapan yang tergantung apabila beliau enggan mendedahkan nama siapakah ahli politik yang diberikan DNAA.

Katanya, setakat yang dilaporkan ada dua kes ahli politik yang mendapat manfaat DNAA iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi (2023) dan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes pengubahan wang haram (2025).

“Kedua-dua kes ini mendapat perhatian ramai kerana melibatkan tokoh politik terkemuka dan ini mewajarkan rakyat untuk bertanya sama ada wujud ‘pilih kasih’.

“Walaupun dinyatakan bahawa seseorang tertuduh yang dikenakan DNAA boleh dituduh balik tetapi amalannya adalah orang tersebut tidak akan dituduh semula,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulqarnain berkata, fungsi asal DNAA di bawah seksyen 254 itu perlu dikembalikan kerana jika pendakwa raya berasa bukti tidak cukup mereka boleh lepaskan dan sambung siasatan.

Katanya, setelah siasatan lengkap mereka boleh membuat pertuduhan semula. Begitu juga jika berlaku keadaan yang mana saksi utama sakit, mati atau lari yang boleh menyebabkan pendakwa raya kalah kes, adalah lebih baik untuk pendakwa raya memohon DNAA untuk mengelakkan membazir masa dan kos.

“Masalah di bawah seksyen 254 ini adalah tiada tempoh masa ditetapkan untuk pendakwa raya membuka pertuduhan semula. Bayangkan jika hal itu tertangguh selama 10 tahun maka ia akan menyusahkan saksi dan pihak-pihak.

“Misalnya dalam kes Ahmad Zahid yang mendapat DNAA pada tahun 2023 sehingga kini tiada apa-apa kemaskini status dimaklumkan kepada rakyat,” katanya.

Untuk menambah baik seksyen 254, katanya, suatu tempoh masa perlu ditetapkan contohnya 24 bulan masa diberikan kepada pendakwa raya untuk melengkapkan siasatan dan membuat pertuduhan semula.

Begitu juga, setiap kali DNAA diberikan pihak Peguam Negara (Pendakwa Raya) hanya mengatakan ‘berdasarkan fakta dan bukti’ dan ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah bukti yang dimaksudkan.

“Selain itu, Peguam Negara perlu diwajibkan untuk memberikan laporan setiap tahun kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan undang-undang supaya ia dapat diteliti oleh anggota jawatankuasa dan seterusnya jawatankuasa boleh membuat pengesyoran terhadap tatacara atau garis panduan berkaitan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini