131 sekolah baharu dibina dengan kos RM14.789 bilion

131 sekolah baharu dibina dengan kos RM14.789 bilion

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 131 projek sekolah baharu dan sekolah gantian dengan kos RM14.789 bilion dilaksanakan dalam tempoh 2023 hingga 2027 bagi meningkatkan akses pendidikan serta menyediakan prasarana pembelajaran lebih kondusif, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pembangunan infrastruktur pendidikan itu merangkumi pembinaan sekolah baharu, sekolah gantian, penggantian bangunan serta kerja pengubahsuaian menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan dibuat secara berperingkat, melibatkan sembilan sekolah pada 2023, 26 sekolah (2024); 44 sekolah (2025); 38 sekolah (2026) dan 14 sekolah pada 2027

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tumpuan turut diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk merapatkan jurang pendidikan serta memastikan akses pendidikan dapat dinikmati secara adil tanpa mengira lokasi.

“Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada penyediaan kemudahan yang selamat, kondusif dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar.

“Proses pembangunan akan dilaksanakan secara berfasa mengikut tahap keselamatan, keadaan fizikal bangunan dan keperluan semasa untuk dinikmati semua pelajar,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM turut memperkukuh langkah menangani kes buli dan salah laku disiplin di sekolah menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan pada 2025 bagi pemasangan CCTV di sekolah, manakala peruntukan RM15 juta disediakan pada 2027 bagi melengkapkan pemasangan kemudahan itu.

“Pemasangan CCTV pada 2026 pula melibatkan 333 sekolah, dengan penempatannya tertumpu di lokasi strategik seperti pintu masuk, koridor, kawasan sekitar stor dan blok asrama,” jelasnya.

Menurut beliau, lokasi pemasangan ditentukan oleh jawatankuasa keselamatan sekolah berdasarkan keperluan serta kesesuaian kawasan bagi memperkukuh pemantauan keselamatan warga sekolah.

Bagi mempertingkat keselamatan pelajar yang tinggal di asrama, beliau berkata, KPM turut menempatkan 300 pembantu warden asrama bagi membantu rondaan pada waktu malam.

“Jumlah itu akan ditingkatkan kepada 500 orang bagi memperkukuh pemantauan serta membantu membanteras kejadian buli di asrama.

“Langkah berkenaan merupakan antara usaha kementerian memastikan persekitaran sekolah dan asrama kekal selamat, selain menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada murid di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini