PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti pelaksanaan proses kawal selia termasuk pendaftaran platform e-dagang susulan aduan awam berkaitan penjualan produk yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dan status halal di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pelbagai aduan daripada orang awam dan pengusaha platform e-dagang.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, antara kebimbangan yang dibangkitkan adalah terdapat platform e-dagang yang didakwa tidak dikawal selia dengan baik, termasuk membabitkan penjualan produk elektrik dan elektronik serta isu kesahihan status halal produk yang ditawarkan.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Komunikasi untuk meneliti tindakan segera bagi melaksanakan proses kawal selia termasuk pendaftaran bagi platform-platform e-dagang.
“Ada di kalangan platform e-dagang yang telah mematuhi dan mempunyai syarikat berdaftar serta berpangkalan di negara ini, namun ada juga yang tidak mempunyai syarikat berdaftar dan beralamat dalam negara,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 1,964 aduan berkaitan platform e-dagang sejak 1 Januari 2025 hingga 25 Ogos lalu.
Fahmi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,147 aduan diterima sepanjang tahun lalu manakala 817 aduan lagi direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Ogos tahun ini.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 118 aduan masih dalam tindakan pihak MCMC. Antara perkara yang dibangkitkan ialah 191 aduan berhubung produk elektrik dan elektronik, manakala empat aduan berkaitan kesahihan status halal produk yang dijual,” katanya.
Mengulas mengapa isu itu dibangkitkan ketika ini, Fahmi berkata, perkara berkenaan turut disentuh dalam sesi Perdana Menteri bersama penggiat industri ketika program TikTok Shop Summit minggu lalu.
Katanya, terdapat kebimbangan mengenai beberapa platform e-dagang yang dilihat tidak dikawal selia dengan sewajarnya sehingga boleh menimbulkan risiko kepada pengguna.
“Kita tidak berhasrat untuk menutup platform-platform ini, tetapi bagi produk elektrik dan elektronik, ia mesti menepati piawaian SIRIM, manakala produk yang menggunakan status halal perlu mematuhi piawaian halal yang diguna pakai dalam negara,” katanya.
Jelasnya lagi, proses pendaftaran platform terbabit akan melibatkan Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan MCMC mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama platform-platform e-dagang bagi membincangkan kaedah pelaksanaan kawal selia tersebut.
“MCMC mempunyai pengalaman melaksanakan kerangka pelesenan terhadap platform media sosial sebelum ini dan pengalaman itu boleh dimanfaatkan dalam perbincangan dengan platform-platform e-dagang,” katanya. – UTUSAN










