PETALING JAYA: Sebanyak sembilan kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu di Samarahan dengan bacaan 158, Sri Aman (157) dan IPD Serian (156) di Sarawak.
Kawasan lain di Semenanjung pula melibatkan Cheras (153), Johan Setia (151), Putrajaya (114), Nilai (109), Batu Muda (107) dan Shah Alam (103), setakat pukul 6 petang, semalam.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi kenyataan melaporkan kualiti udara didapati merosot dengan beberapa kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, yang dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Untuk rekod, sebanyak 56 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana manakala dua kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.
JAS menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka, membiarkan tanah, premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu.
“Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat url, https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di ‘Google Play’ atau ‘App Store’,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN











