Yassin belum boleh pulang -Saiful Apek

Yassin belum boleh pulang -Saiful Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat menyambut kepulangan Yassin, yang sepatutnya tiba di Malaysia pada penghujung Mac terpaksa ditunda apabila pelawak itu ditahan lebih lama kerana terikat dengan beberapa prosedur.

Jelas Apek atau Muhammad Saiful Azam, 55, sahabatnya itu perlu melalui proses melibatkan pengurusan visa antara negara yang rumit membuatkan jadual penerbangan pulang terpaksa ditangguhkan.

“Saya dimaklumkan oleh keluarganya sebelum ini sepatutnya minggu keempat Mac sudah pulang. Tapi bila kena uruskan visa dan beberapa prosedur lain yang saya kurang tahu, jadi ia lambat.

“Apa yang saya boleh cakap, InsyaAllah dalam masa terdekat dia pulang,” katanya.

Apek ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem 6 Jilake, di sini, pada Rabu.

Sudah menganggap Yassin seperti keluarga sendiri, seluruh ahli kumpulan Senario tidak sabar bertemu dengannya dan sanggup mengeluarkan wang sendiri jika itu yang diperlukan untuk membeli tiket.

“Saya sangat teruja mahu bertemu dengannya. Kalau dia sampai sahaja saya terus sambut. Beri dia masa berehat sampai dia bersedia kongsikan apa yang berlaku.

“Kami juga gembira kerana dia boleh sertai kami di Senario kerana kontrak dengan sebuah jenama masih berlangsung.

“Senario sudah seperti keluarga, Yassin sudah seperti adik-beradik. Apa sahaja kepayahan dari segi kewangan beli tiket kami semua boleh bantu,” tambahnya.

Terdahulu, Yassin ditahan di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober 2024 atas dakwaan memiliki bahan terlarang.

Bagaimanapun, Apek menegaskan, Yassin tidak ditahan di penjara sebaliknya di sebuah pusat pemulihan dan sibuk membaca al-Quran. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN