PETALING JAYA: Selaras dengan komitmen dalam memperkasa pelancongan budaya, Royale Chulan Hotels & Resorts tampil menerajui sokongan terhadap kempen nasional Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026) melalui inisiatif WarnaRasa Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Royale Chulan Hotels & Resorts, Datuk Rosthman Ibrahim, ia merupakan satu program eksklusif yang menggabungkan elemen gastronomi dan persembahan kebudayaan di hotel-hotel terpilih di bawah jenama Royale Chulan.
Dengan slogan ‘Hospitaliti Malaysia dari Hati’, katanya lagi, Royale Chulan mengambil langkah proaktif menjadikan jenama mereka sebagai pentas memperkenalkan warisan budaya negara kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.
“Melalui jenama Warna Rasa, kami menyatukan elemen gastronomi dan persembahan kebudayaan di hotel-hotel kami. Kami berharap ia dapat menjadi pentas bagi memperkenalkan keindahan budaya Malaysia kepada dunia secara terus dari ruang hotel kami sendiri.” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Mengulas lanjut, Rosthman berkata, antara elemen utama dalam WarnaRasa Malaysia adalah termasuk persembahan bulanan yang menampilkan tarian tradisional, muzik etnik dan sajian khas dari pelbagai negeri.
Jelasnya, ia bukan sahaja menghidupkan suasana di hotel, malah membuka peluang kepada pelawat untuk memahami dan menghargai kepelbagaian budaya Malaysia secara langsung.
“Dalam usaha memperkukuh jenama dan peranan sebagai peneraju hospitaliti tempatan, Royale Chulan turut mengorak langkah lebih jauh dengan menjalin kolaborasi strategik bersama pihak UiTM untuk mengenal pasti, mendalami dan seterusnya membentuk satu kerangka kerja menyeluruh tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Malaysia Hospitality Culture’ (MHC).
“Usaha ini dijangka memberi impak besar dalam menyatukan elemen budaya, nilai dan layanan mesra tempatan dalam satu naratif yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Royale Chulan menyasarkan inisiatif ini agar dapat menyumbang kepada usaha MOTAC dalam mencapai sasaran ketibaan pelawat antarabangsa.
“Dengan pendekatan bersepadu yang menggabungkan komuniti, seni dan hospitaliti, Royale Chulan yakin bahawa budaya adalah nadi pelancongan yang akan terus mengangkat nama Malaysia di mata dunia,” ujarnya. – UTUSAN