BATU KAWAN : Polis menahan seorang warga emas yang memandu kereta di laluan motosikal berhampiran Plaza Tol Bandar Cassia di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, terdahulu, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 36 saat yang dimuat naik menerusi aplikasi Tik Tok oleh seorang pemilik akaun bernama Daus Fishing.
Katanya, video berkenaan memaparkan tindakan seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang memandu di laluan yang sepatutnya dilalui oleh motosikal sahaja.
“Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang. Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik kemudiannya berjaya mengesan pemandu terbabit sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di sini.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu berkenaan dalam perjalanan ke Batu Kawan dari Butterworth dan hanya menyedari yang dia tersalah masuk ke lorong motosikal selepas dihon oleh kenderaan lain. Bagaimanapun, dia tetap meneruskan perjalanannya.
“Sehubungan itu, pemandu tersebut telah disaman mengikut Kaedah 8(3) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 kerana tidak mematuhi papan tanda di laluan trafik,” katanya di sini, hari ini. – UTUSAN