MARANG: Seorang wanita warga emas maut dan tiga lagi cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Murni, di sini, hari ini,
Mangsa yang cedera adalah seorang lelaki dan dua wanita termasuk seorang adalah orang kurang upaya (OKU).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Timbalan Penguasa Bomba Che Badrul Isham Che Mohd Noor berkata, Razaidah Haji Muhamad, 78, meninggal dunia selepas terperangkap dalam rumah dalam kebakaran kira-kira pukul 4 pagi.
“Semua mangsa yang cedera termasuk OKU keluar dengan sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi. Rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 60 peratus,” katanya hari ini.
Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN