MELAKA: Hanya kerana dendam lama, seorang lelaki sanggup bertindak ganas dengan memukul warga emas menggunakan sebatang besi ketika mangsa sedang berjoging di Jalan Tepi Sungai Alai, Pengkalan Jajar Alai di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang merupakan pesara berusia 65 tahun mendakwa, diserang oleh suspek dikenali yang juga jirannya, selepas berlaku pertengkaran mulut dan aksi meludah antara satu sama lain.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, hasil siasatan mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan lama antara kedua-dua individu berkenaan.
“Pada hari kejadian, suspek dikatakan terlebih dahulu membaling mercun ke arah rumah mangsa. Mangsa yang mahu berjoging telah mengabaikan tindakan itu dan meneruskan aktiviti seperti biasa.
“Bagaimanapun, sebaik selesai berjoging, mangsa terserempak dengan suspek dan berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang besi berwarna biru,” katanya.
Mangsa mengalami kecederaan pada lutut kiri akibat dipukul dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah bertindak menahan seorang lelaki berusia 40 tahun pada pukul 1 tengah hari, 3 April lalu.
Suspek telah direman selama empat hari bermula 4 April lalu, sebelum perintah reman disambung tiga hari lagi sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya. – UTUSAN